
KUALA LUMPUR: Seorang pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) direman kerana disyaki terbabit rasuah dengan mengesyor dan melantik syarikat kroni mendapatkan kerja di tempat dia bertugas.
Turut direman seorang pengarah syarikat kerana disyaki terbabit dan bersubahat dalam aktiviti rasuah itu.
Perintah reman tujuh hari hingga 29 Jan ini terhadap dua individu itu dikeluarkan Majistret A Hafiizh Abu Bakar selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Tinggi Ipoh semalam.
Sumber memaklumkan dua suspek lelaki dalam lingkungan 40 dan 50-an itu ditahan kira-kira 6.50 petang serta 9.40 malam kelmarin ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Perak di Ipoh.
“Kedua-dua suspek dipercayai bersubahat melakukan perbuatan berkenaan sejak 2017 hingga 2020.
“Siasatan awal turut mendapati pegawai kanan TLDM itu disyaki memiliki harta melebihi jumlah emolumen yang diterima seperti pemilikan kira-kira lapan aset tak alih terdiri daripada tiga rumah, tiga rumah kedai dan dua hotel didaftarkan atas namanya.”
Sumber berkata, siasatan mendapati kira-kira RM2 juta dari sumber diragui dimasukkan ke dalam akaun peribadi dan dua akaun syarikat perhotelan milik pegawai itu.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Saiful Ezral Arifin, ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
