Umno Terengganu tuntut autonomi politik, PH sedia solo

Pengerusi PH Terengganu Hasbie Muda, berkata di sebalik tuntutan autonomi Umno negeri, hubungan PH dan BN di negeri itu adalah baik. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) Terengganu sedia bergerak solo tanpa kerjasama dengan Barisan Nasional (BN), andai tuntutan Umno negeri menuntut autonomi memilih pakatan politik dipenuhi.

Pengerusi PH Terengganu Hasbie Muda, berkata apa sahaja keputusan pimpinan pusat akan dituruti.

“PH Terengganu akan akur apa jua keputusan dan arahan Majlis Presiden PH.

“Keputusan solo atau bersama di negeri mesti selari dengan pusat. Saya tak fikir akan berbeza,” katanya kepada FMT.

Hasbie yang juga ketua Pemuda Amanah memaklumkan hubungan PH dan BN di Terengganu berada dalam keadaan baik ketika ini.

“Kami tiada masalah dalam bekerjasama.”

Sabtu lalu, perwakilan Terengganu, Nurhisam Johari, ketika berucap sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) meminta supaya pucuk pimpinan menyerahkan autonomi memilih pakatan politik, lebih-lebih lagi sekiranya melibatkan PAS dan DAP.

Katanya, langkah itu bagi memastikan kerjasama tersebut bukan sahaja relevan dan boleh diterima dalam kalangan parti, sebaliknya mendapat penerimaan rakyat Terengganu secara keseluruhannya.

Untuk rekod, PH dan BN gagal memenangi sebarang kerusi di Terengganu dalam PRU lalu apabila semua 32 DUN dan lapan Parlimen disapu bersih Perikatan Nasional (PN).

Author: admin