Caj bazar Ramadan DBKL turun kepada RM400, kata Hannah

Hannah Yeoh
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh, berkata bazar Ramadan tahun ini akan diuruskan DBKL dan tiga persatuan penjaja utama.

PUTRAJAYA: Caj tapak bazar Ramadan dikendalikan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diturunkan kepada RM400, berbanding RM500 tahun lalu bagi meringankan beban kos sara hidup penjaja kecil, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh.

“Pengurangan RM100 ini sama tidak kira untuk tapak dikendalikan DBKL ataupun persatuan penjaja.

“Bila kita turunkan kadar caj, saya berharap peniaga juga akan munasabah bila mereka menggunakan harga-harga makanan mereka,” katanya pada sidang media.

Tambahnya, skim perlindungan insurans juga diperkenalkan bagi semua peniaga sekiranya berlaku kecederaan atau kemalangan semasa mengendalikan perniagaan di tapak bazar.

Dalam pada itu, Yeoh berkata pelaksanaan tahun ini akan menggunakan ‘model hibrid’ melibatkan 44 lokasi dengan kapasiti 3,779 petak niaga bagi menyelesaikan kemelut yang timbul pada tahun lalu.

Daripada jumlah itu, sembilan lokasi (1,436 petak) akan diselia penuh DBKL, manakala 32 lokasi (2,343 petak) akan dikendalikan tiga persatuan penjaja utama yang telah dikenal pasti.

“Keputusan kembali kepada model hibrid ini dibuat selepas proses ‘post-mortem’ mendapati sistem undian terbuka tahun lalu menyebabkan ramai penjaja lama dihalau ke lokasi yang sangat jauh, sekali gus menafikan hak mereka yang sudah sekian lama berniaga di sesuatu kawasan.

“Ini juga bagi menjawab keluhan persatuan penjaja yang sebelum ini tidak dapat membantu ahli-ahli mereka akibat sistem terbuka tersebut,” katanya.

Beliau turut memberi amaran keras kepada mana-mana pihak agar tidak mengambil kesempatan atas penurunan kadar caj tersebut dengan melakukan aktiviti sewa atas sewa atau ‘sublet’.

“Sebarang amalan ‘sublet’, jual beli tapak atau pengambilan untung berlebihan adalah dilarang sama sekali. Tindakan penguatkuasaan akan diambil tanpa kompromi, termasuk merampas lesen serta-merta jika dikesan berlaku pelanggaran,” katanya.

Beliau berkata, DBKL akan menyelaraskan kos pengurusan dengan persatuan melalui subsidi tertentu bagi memastikan tapak bazar sentiasa bersih dengan beban kewangan tidak dipindahkan kepada penjaja.

Bagi Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan, beliau memaklumkan tiada perubahan kadar caj dibuat dan ia kekal seperti tahun-tahun sebelum ini.

Author: admin