
PETALING JAYA: Bersatu dan PAS dilihat cuba menjadikan DAP sebagai ‘kambing hitam’ untuk menolak serta menggagalkan ‘kolaborasi agung’ dibawa Umno, kata penganalisis.
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata penolakan itu berisiko mendedahkan dua tonggak Perikatan Nasional (PN) terbabit kepada sentimen lebih mengutamakan agenda parti berbanding penyatuan Melayu-Islam.
Menurutnya, hujah Bersatu dan PAS itu mungkin dianggap lemah kerana kerjasama Umno-DAP lebih kepada pengurusan pentadbiran negara.
“Malah DAP dan Umno selalu dilihat bertentangan (kritikan dan saling berbalas kenyataan babit beberapa pemimpin tertentu).

“Jadi kenyataan itu hanya alasan tidak mahu menyertai ‘kolaborasi agung’ dan jadikan DAP sebagai kambing hitam,” katanya kepada FMT.
Kelmarin, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menolak sebarang pembentukan ‘kolaborasi agung’ Melayu dicadangkan Presiden Umno Zahid Hamidi, selagi Umno terus bekerjasama dengan DAP.
Presiden PAS Hadi Awang pula berkata parti itu hanya akan bersama jika seruan berkenaan berpayungkan kerajaan yang menunaikan kewajipan mengikut ketetapan Allah.
Sebelum ini, Penolong Setiausaha Agung PAS Che Syahir Sulaiman berkata ia hanya akan bekerjasama dengan Umno jika parti itu meninggalkan gabungan bersama DAP.
Umno dan DAP yang dahulunya seteru, kini sekutu dalam kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim selain pernah bekerjasama dalam beberapa PRN serta PRK.
Umno menafikan label “UmDAP”, yang digunakan pengkritik untuk menggambarkannya di bawah DAP.
Timbalan Presiden Mohamad Hasan pada Perhimpunan Agung Umno 2025, minggu lalu menyifatkan kerjasama itu sekadar ‘perjanjian untuk mengurus negara’.

Saintis politik Wong Chin Huat dari Universiti Sunway pula mempersoal sama ada PAS akan mempertahan prinsip ‘tanpa DAP’ sekiranya landskap politik berubah selepas PRU16, sambil menyifatkan ia sekadar taktik pemasaran dan strategi pembezaan produk politik.
“Kalau pada PRU16 PAS menang cukup kerusi untuk dipelawa masuk kerajaan tetapi tak cukup banyak untuk buat kata pemutus, adakah PAS menolak tawaran masuk kerajaan kerana DAP?
“Saya tidak akan mengatakan perkara yang sama untuk Bersatu secara keseluruhan. Ia mungkin menjadi cerita berbeza jika parti itu diterajui Hamzah Zainudin atau pemimpin lain nanti,” katanya.
Ini memandangkan halangan utama kerjasama Bersatu dengan kerajaan pasca PRU15 bukan ideologi parti tetapi faktor peribadi Muhyiddin, menurut Wong.
“Sebagai bekas perdana menteri, beliau terlalu ‘bangga’ untuk bekerja di bawah perdana menteri lain,” katanya.
