
PETALING JAYA: Gesaan Umno Kedah diberi autonomi untuk bertanding solo pada PRU16 mungkin kerana enggan dikongkong dalam agihan kerusi dan penentuan calon menteri besar, kata penganalisis.
Namun, Mazlan Ali memberi amaran tanpa kerjasama dengan mana-mana parti termasuk Pakatan Harapan (PH), peluang merampas pentadbiran negeri itu daripada Perikatan Nasional (PN) dilihat ‘kecil dan sempit’.
Menurut ahli akademik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), kedudukan Umno dan Barisan Nasional (BN) di negeri utara itu boleh dianggap pada titik paling rendah, tanpa mewakili kerusi Parlimen dan DUN.
“Bukan tiada peningkatan sokongan (selepas PRU15 dan PRN) tetapi belum cukup merampas Kedah, jadi pilihan solo ini banyak aspek kekurangan.
“Tetapi, kalau ada kerjasama dengan PH di kerusi tertentu, undi PH boleh diberi kepada BN dan sebaliknya…itu lebih baik berbanding solo kecuali Umno yakin kekuatan menyaingi PAS serta PN di Kedah,” katanya kepada FMT.
Isnin lalu, Ketua Penerangan Umno Kedah, Shaiful Hazizy Zainol Abidin, menggesa pimpinan pusat memberikan autonomi kepada mereka dalam memutuskan kerjasama dengan mana-mana parti atau bergerak solo pada PRU16.
Beliau mendakwa, kerjasama dengan PH boleh dianggap tiada malah ada cubaan mengetepikan Umno dan pada masa sama keberatan bergabung dengan PAS.
Pada PRN 2023, kerjasama BN dan PH hanya menang tiga kerusi dengan dua DUN dimenangi PKR (Bakar Arang dan Sidam) manakala satu DAP (Kota Darul Aman).
PN yang diketuai PAS pula menang 33 kerusi, menyaksikan Sanusi Nor meneruskan tugas sebagai menteri besar untuk penggal kedua.
Mengulas lanjut, Mazlan berkata antara cabaran Umno jika ingin bergerak solo adalah untuk menarik balik ahlinya yang menyokong PN pada pilihan raya lalu kerana tidak berpuas hati kerjasama bersama PH.
“Kedua, memenangi pengundi atas pagar yang kita boleh katakan tidak menyokong Umno,” katanya.
Sementara itu, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata pemberian autonomi jika ada sekalipun hanya bersifat separuh kerana keputusan akhir tertakluk kepada Umno pusat seperti di Sabah.
“Umno negeri boleh buat keputusan tetapi kata muktamad datang dari pusat supaya kesinambungan dan tidak cacamarba,” katanya, bagaimanapun berpendapat sukar untuk melawan pengaruh Sanusi dan PAS di Kedah setakat ini.
Menurutnya, sebarang kerjasama juga bergantung kepada strategi di setiap negeri kerana suasana serta budaya politik berbeza.
“Satu strategi tidak boleh digunakan untuk seluruh Semenanjung atau pun Sabah kerana senario politik berlainan,” katanya.
