
PETALING JAYA: Enam bekas ketua bahagian Bersatu membuat aduan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) kerana mendakwa dipecat parti itu tanpa sebarang perbincangan, dan atas kesalahan yang tidak diperincikan secara khusus.
Mereka hadir ke pejabat JPPM hari ini untuk menyerahkan surat bantahan dan aduan, meminta siasatan dilakukan terhadap prosedur pemecatan yang didakwa tidak mengikut perlembagaan parti.
Bekas ketua Bersatu Puchong Mohd Shukor Mustafa berkata, mereka tidak mempertikaikan keputusan pemecatan itu, namun mempersoalkan kaedah dan proses yang dilaksanakan oleh kepimpinan parti, khususnya berkaitan hak rayuan yang didakwa telah dinafikan.
Beliau berkata, berdasarkan perlembagaan parti, ahli yang dikenakan tindakan disiplin sepatutnya diberikan ruang untuk merayu sebelum keputusan muktamad dibuat.
“Dalam surat pemecatan yang kami terima, dinyatakan kami boleh membuat rayuan dalam tempoh 14 hari. Namun pada masa sama, nama kami terus dikeluarkan daripada senarai keahlian parti, seolah-olah kami sudah bukan lagi ahli.
“Keadaan ini menimbulkan persoalan kerana sekiranya masih dalam tempoh rayuan, kami sepatutnya kekal sebagai ahli dan berhak menggunakan saluran rayuan yang disediakan,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan surat aduan tersebut, lapor Utusan Malaysia.
Selain Mohd Shukor, bekas ketua bahagian lain terlibat termasuk Mohd Faizal Asmar (Pengerang), Suhaimi Mohd Ghazali (Sepang) dan Mohd Isa Mohd Saidi (Ampang)
Dua lagi pengadu tidak hadir, iaitu Mohd Azrudin Md Idris (Hang Tuah Jaya) dan Mohd Fadhli Ismail (Ipoh Timur).
Mengulas lanjut, Mohd Shukor berkata, tindakan tersebut disifatkan tidak setimpal dengan kesalahan yang didakwa.
Keadaan ini memberi gambaran seolah-olah wujud perancangan atau unsur dendam untuk menyingkirkan mereka daripada parti, tambahnya.
“Kami dimaklumkan kesalahan mengikut fasal tertentu dalam perlembagaan parti, namun tidak dijelaskan secara terperinci apakah kesalahan sebenar yang dilakukan. Ini menyukarkan kami untuk mempertahankan diri atau membuat rayuan dengan adil,” katanya.
