
PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) merakam keterangan ketua editor dan pengarang dalam talian China Press berhubung satu kandungan terbitan media itu dipercayai melanggar Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Menurut SKMM, siasatan dijalankan susulan laporan diterima terhadap kandungan disiarkan melalui platform dalam talian China Press, yang didakwa mengandungi maklumat palsu berkait Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
“Kandungan tersebut khususnya melibatkan tafsiran berhubung kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang disampaikan semasa Istiadat Pembukaan Sidang Parlimen dan didakwa berpotensi menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang awam.
“SKMM mendapati penelitian awal menunjukkan kandungan berkenaan membawa maksud berbeza daripada titah sebenar Yang di-Pertuan Agong,” menurut kenyataan itu, sambil menambah keadaan tersebut boleh mencetuskan persepsi tidak tepat terhadap Institusi Diraja serta kepentingan nasional.
Sehubungan itu, SKMM berkata beberapa peralatan dan bahan berkaitan turut disita bagi tujuan siasatan lanjut.
SKMM menegaskan pihaknya memandang serius sebarang penerbitan melibatkan Agong, khususnya perkara berkaitan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Suruhanjaya itu turut mengingatkan semua organisasi media agar melaksanakan semakan fakta secara teliti serta sentiasa mematuhi prinsip kewartawanan yang bertanggungjawab bagi mengelakkan penyebaran maklumat mengelirukan kepada masyarakat.
