Shahriman tarik petisyen gulung Sapura Holdings

Shahril Shamsuddin dan adiknya, Shahriman mencapai penyelesaian yang menyaksikan Shahril menarik balik petisyen di Mahkamah Tinggi untuk menggulung Sapura Holdings.

KUALA LUMPUR: Pengarah Sapura Holdings Sdn Bhd (SHSB), Shahriman Shamsuddin, menarik balik petisyen untuk menggulung syarikat itu di Mahkamah Tinggi, susulan penyelesaian yang dicapai dengan abang beliau yang juga CEO Kumpulan Sapura, Shahril Shamsuddin.

Dalam satu kenyataan kepada FMT, Shahril menyuarakan keyakinan terhadap masa depan syarikat tersebut.

“Alhamdulillah. Saya menantikan masa depan yang sangat positif untuk Kumpulan Sapura. Penyelesaian ini akan membolehkan kumpulan bergerak ke hadapan dan beri tumpuan kepada operasi serta pemegang saham

“Saya menghargai usaha yang dilakukan oleh adik saya untuk mencapai satu penyelesaian yang konstruktif dan berharap episod ini dapat dilupakan,” katanya.

Hakim Leong Wai Hong merekodkan penarikan balik petisyen itu hari ini selepas pihak-pihak mengesahkan dalam kamar bahawa perkara tersebut telah diselesaikan.

Peguam S Gopal mewakili Shahriman manakala Ahmad Redza Abdullah hadir bagi pihak Shahril.

“Petisyen itu telah diselesaikan dan ditarik balik mengikut terma sulit,” kata Gopal kepada FMT di luar mahkamah selepas prosiding.

Turut hadir ialah peguam Nur Syafinaz Vani dan Saw Wei Seang, masing-masing mewakili SHSB dan pengarahnya, Rameli Musa.

Shahril, Shahriman dan Rameli tidak hadir ke mahkamah.

Penyelesaian itu dicapai selepas perbicaraan, yang menyaksikan Shahriman dan bapa mereka, Shamsuddin Abdul Kadir, memberi keterangan sebagai saksi.

Shahriman sebelum ini memohon supaya SHSB, syarikat induk kepada lebih 40 anak syarikat yang dianggarkan bernilai kira-kira RM832 juta termasuk syarikat tersenarai awam Sapura Resources Bhd, digulungkan.

Shahril dan Shahriman masing-masing memiliki 48% pegangan dalam SHSB, manakala baki 4% dimiliki oleh Rameli.

Shahriman memfailkan petisyen tersebut pada 23 Sept 2024, dengan menamakan SHSB, Shahril dan Rameli sebagai responden.

Dalam petisyennya, Shahriman menyatakan bahawa penggulungan itu perlu dilaksanakan kerana keruntuhan saling kepercayaan dan keyakinan antara beliau dan Shahril tidak boleh dibaiki lagi.

SHSB, Shahril dan Rameli – semuanya dinamakan sebagai responden – membantah petisyen itu.

Mereka mendakwa SHSB tidak pernah dirancang menjadi syarikat keluarga, dan tidak adil dan saksama sekiranya ia digulung.

Author: admin