SKMM siasat China Press silap terjemah titah Agong

FAHMI FADZIL
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil juga menasihatkan orang ramai tidak mengeluarkan komen yang melampau atau bersifat fitnah, dan beri ruang kepada proses undang-undang yang berjalan.

PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat isu kandungan dalam talian terbitan China Press yang didakwa mengandungi kesilapan terjemahan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sewaktu Istiadat Pembukaan Sidang Parlimen semalam.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, berkata beliau dimaklumkan mengenai perkara itu oleh SKMM susulan aduan rasmi yang dibuat orang awam.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, iaitu berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian yang boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran awam atau menjejaskan keharmonian.

“Sekiranya ada laporan polis dibuat, perkara tersebut adalah berasingan dan diserahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk jalankan siasatan berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Fahmi juga menggesa Majlis Media Malaysia sebagai sebuah badan bebas, memainkan peranan yang diperuntukkan kepadanya, iaitu memastikan pematuhan etika kewartawanan, menggalakkan pelaporan yang bertanggungjawab dan tepat

Katanya, Majlis Media Malaysia menjadi platform pengawalseliaan kendiri bagi menangani aduan dan isu berkaitan media secara profesional dan berintegriti.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mengeluarkan komen yang melampau atau bersifat fitnah, khususnya di media sosial, serta sentiasa menghormati institusi Raja dan memberi ruang kepada proses undang-undang yang sedang berjalan,” katanya.

Semalam, China Press dalam satu hantaran di Facebook memuat naik laporan titah Sultan Ibrahim dengan tajuk ‘tidak tahu bahasa Melayu, jangan duduk Malaysia’ sebelum menukarnya kepada ‘kalau ada yang tidak terima bahasa Melayu, lebih baik jangan duduk di Malaysia’

Author: admin