
PETALING JAYA: Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) ternyata menjadi ‘talian hayat’ yang amat dinanti-nantikan oleh golongan memerlukan, terutamanya menjelang pembukaan sesi persekolahan tahun ini.
Bagi Sukeri Zakaria, 49, bantuan tersebut hadir tepat pada waktunya. Penyelia di sebuah pusat cuci kereta itu mengakui beban kewangan menyara dua anaknya yang masih bersekolah bukanlah sesuatu yang ringan untuk dipikul.

“(SARA) memang banyak membantu dari segi kewangan. Sekurang-kurangnya dapat meringankan beban saya dan kita pun bakal menyambut Ramadan bulan depan,” katanya kepada FMT.
Setelah banyak wang dihabiskan untuk menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak, dengan bantuan SARA, penerima dapat menampung keperluan asas lain.
“Saya akan guna (SARA) untuk beli barang-barang dapur. Beras, kicap dan gula, itu mesti kena ada,” kata Sukeri, yang juga penduduk program perumahan rakyat (PPR) di ibu kota.
Justeru, beliau menyatakan penghargaan kepada kerajaan, khususnya Perdana Menteri Anwar Ibrahim, atas keprihatinannya terhadap nasib rakyat.
“Terima kasih banyak-banyak buat perdana menteri kita beri bantuan SARA kepada semua rakyat Malaysia yang memerlukan,” katanya.

Bagi pemandu van sekolah, Siti Azilah Amad, 49, bantuan SARA menjadi sandaran buat beliau yang perlu menanggung keperluan persekolahan anaknya berusia 11 tahun, dengan pendapatan bulanan hanya sekitar RM600.
“Apabila dapat SARA, ia memang membantu saya beli barangan keperluan dapur,” katanya.
Turut bersyukur menerima bantuan SARA, Siti Eshah Mat Isa, 66, seorang balu yang kini bergantung sepenuhnya kepada inisiatif itu untuk kelangsungan hidup.

Sebagai suri rumah yang tidak lagi bekerja, bantuan SARA menjadi sumber utama beliau mendapatkan barangan asas.
“Apabila dapat SARA, saya beli barang dapur seperti beras, minyak, tepung, teh, dan kopi,” kata wanita yang tinggal bersama tiga anak itu.
“Alhamdulillah, sedikit sebanyak ia meringankan beban saya yang memang tiada pendapatan ini.”
Pada 9 Jan lepas, bantuan SARA bulanan bagi 2026 mula diagihkan, melibatkan lima juta penerima merangkumi 3.7 juta isi rumah dan 1.3 juta warga emas bujang.
Bagi 3.1 juta rakyat Malaysia berstatus bujang pula, bantuan mula diagihkan pada 16 Jan.
Bantuan SARA dikreditkan menerusi MyKad penerima yang layak dan boleh digunakan untuk membeli lebih 100,000 barangan dalam 14 kategori.
Pembelian boleh dilakukan di 10,000 kedai runcit dan pasar mini tahun ini, berbanding hanya 3,000 kedai tahun lepas.
