
PETALING JAYA: Kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim kekal stabil dan teguh, kata Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook di sebalik ‘perang mulut’ antara parti itu dan pemimpin Umno, baru-baru ini.
“Walau apa pun perbezaan di kalangan kita, kerajaan Madani terus kukuh dan stabil demi sebuah pentadbiran yang boleh memajukan negara dan mensejahterakan rakyat,” katanya dalam catatan di Facebook.
Hantaran Loke itu turut menyertakan gambar di Dewan Rakyat bersama Presiden Umno Zahid Hamidi, Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) Fadillah Yusof, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Zambry Abdul Kadir, dan Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) Saifuddin Nasution Ismail, ketika Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 pagi tadi.
Semalam, Loke dilaporkan berkata parti itu tidak tergugat dengan seruan terbaharu parti lawan yang mahu menyerang DAP, sambil menegaskan fokusnya kekal kepada isu penting untuk rakyat.
Katanya, DAP tidak akan berundur daripada sebarang pertembungan politik.
Khamis lalu, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh mengumumkan peletakan jawatan sebagai exco Melaka bagi membolehkannya ‘melawan DAP habis-habisan’.
Retorik anti-DAP dan seruan baharu menyatukan semula parti Melayu di bawah payung Umno menjadi perbincangan utama pada pada Perhimpunan Agung Umno 2025.
