
PETALING JAYA: Penyelesaian saman fitnah terhadap bekas peguam negara, Tommy Thomas berhubung beberapa kandungan dalam memoirnya kemenangan besar buat Najib Razak dalam membersihkan namanya daripada dakwaan pembunuhan Altantuya Shaariibuu.
Peguam Shafee Abdullah mewakili Najib berkata, persetujuan dicapai hari ini menunjukkan tiada bukti mengaitkan bekas perdana menteri itu dengan kes pembunuhan wanita Mongolia itu.
“Anda boleh sifatkan ia satu kemenangan kerana tiada bukti, seperti yang diakui defendan (Thomas). Ini sepatutnya menamatkan semua khabar angin dan cakap-cakap kedai kopi berhubung Najib.
“Anak guam saya sangat gembira. Selama bertahun-tahun beliau kecewa kerana tiada keterangan langsung, namun banyak khabar angin yang telah ditimbulkan secara tidak benar kononnya beliau terlibat dalam pembunuhan itu,” katanya dalam sidang media.
Jelasnya, Thomas menerusi persetujuan di mahkamah mengakui sejak penerbitan bukunya pada 2021, tiada keterangan langsung atau bukti lanjut ditemui yang boleh mengaitkan Najib dengan dakwaan itu, walaupun siasatan lanjut polis atas permintaan pelbagai pihak, termasuk bapa Altantuya.
Beliau berkata, matlamat utama Najib memfailkan saman itu bukan demi pampasan wang, tetapi untuk memulihkan reputasinya.
Terdahulu, penyelesaian saman fitnah itu direkodkan di depan Hakim Mahkamah Tinggi, Khadijah Idris selepas peguam kedua-dua pihak memaklumkan mahkamah, penyelesaian secara baik telah dicapai.
Thomas melalui peguamnya, Alan Adrian Gomez memberitahu mahkamah, beliau tidak tahu sebarang bukti mengaitkan Najib dengan pembunuhan Altantuya, sejak bukunya diterbitkan pada 2021 dan beliau akan memasukkan kenyataan itu, jika bukunya dicetak atau diterbitkan semula.
Najib menyaman Thomas dan penerbit GB Gerakbudaya Enterprise Sdn Bh berhubung kenyataan didakwa berunsur fitnah dalam Bab 42 bertajuk “Altantuya” dalam buku Thomas yang diterbitkan pada awal 2021.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu menuntut ganti rugi tidak dinyatakan, penghapusan kata-kata didakwa fitnah, permohonan maaf serta injunksi kekal bagi menghalang penerbitan lanjut kenyataan sedemikian.
