Tolak kerjasama PAS, PH, pemimpin Umno Kedah gesa pusat beri autonomi

hazizy
Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata Umno Kedah cenderung bergerak solo kerana sukar kerjasama dengan PH dan PAS. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Seorang pemimpin Umno Kedah mencadangkan mereka diberikan autonomi dalam memutuskan kerjasama dengan mana-mana parti atau bergerak solo pada PRU16.

Ketua Penerangan Shaiful Hazizy Zainol Abidin yang membuat gesaan itu berkata langkah terbabit bagi membolehkan Umno dan Barisan Nasional (BN) lebih mudah bergerak.

Menurutnya, kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) boleh dianggap tiada walaupun ada diwujudkan sekretariat untuk menyelaras kerja termasuk perancangan projek pembangunan di negeri dikuasai PAS terbabit.

Malah dakwanya ada usaha untuk menjadikan BN tidak lagi relevan dengan mengenepikan peranannya bersama dalam inisiatif membantu rakyat.

“Seolah-olah mereka ada agenda khusus yang tidak mahu melihat Umno dan Barisan Nasional kembali relevan di Kedah.

“Kita pun tahu ada penyusunan tertentu untuk meletakkan menteri besar dari PKR jika kerjasama PH dan BN menang di Kedah,” katanya ditemui FMT di tepian Perhimpunan Agung Umno 2025 baru-baru ini.

Pada PRN 2023, kerjasama BN dan PH hanya menang tiga kerusi dengan dua DUN dimenangi PKR (Bakar Arang dan Sidam) manakala satu DAP (Kota Darul Aman).

Perikatan Nasional (PN) yang diketuai PAS pula menang 33 kerusi, menyaksikan Sanusi Nor meneruskan tugas sebagai menteri besar untuk penggal kedua.

Shaiful Hazizy berkata mereka juga keberatan bekerjasama dengan PAS kerana menyedari risiko politik termasuk kelicikan Sanusi yang baru-baru ini menyeru ahli Umno meneruskan semangat Muafakat Nasional (MN).

“Beliau cuba memecahbelahkan pengundi dan penyokong Umno dengan membuat gesaan seperti itu.

“Pokoknya kami tak ingin juga bekerjasama dengan PAS, sebab itu kami mahu diberikan autonomi untuk menentukan hala tuju politik sendiri,” katanya.

Atas faktor itu, ketua Umno Merbok berkenaan berkata mereka cenderung bergerak solo dengan membina kekuatan sendiri untuk berdepan pilihan raya bagi memenangi sebanyak mungkin kerusi.

“Sekarang dengan PH pun kita selalu ditinggalkan, takkan nak bincang dengan kerajaan negeri diketuai PAS.

“Kita perlu bermula dari sekarang untuk bina kekuatan sendiri dan autonomi segera untuk buat keputusan sendiri,” katanya.

Mengulas kemampuan Umno memenangi kerusi di Kedah, Shaiful Hazizy mengakui kekalahan di semua kawasan ditandingi memberi persepsi buruk namun yakin ada perubahan.

“Bila kita turun padang nampak ada perubahan tetapi belum cukup besar sehingga boleh perintah semula Kedah,” katanya.

Sebagai rekod, BN yang diketuai Umno memerintah sejak merdeka sebelum tewas buat pertama kali pada 2008 kepada Pakatan Rakyat yang ketika itu dianggotai PAS, PKR dan DAP.

Namun lima tahun kemudiannya, BN merampas semula pentadbiran itu sebelum tewas kepada PH pada 2018 yang pemerintahan hanya bertahan dua tahun susulan kemelut politik.

PN bersama BN mengambil alih tampuk pemerintahan sebelum kedua-duanya bertembung pada PRN 2023.

Author: admin