
PETALING JAYA: Seorang penulis teknikal yang mendakwa gagal membaharui pasportnya sejak beberapa tahun lepas telah mengemukakan surat tuntutan kepada Jabatan Imigresen untuk mendapatkan penjelasan dalam tempoh dua minggu.
Surat tuntutan tersebut dihantar oleh peguam Hafiz Hamid, Shamsher Singh Thind pada Jumaat.
Anak kelahiran Kedah berusia 42 tahun itu, yang kini menetap di Subang Jaya, sebelum ini menyatakan bahawa beliau dilarang memasuki Sarawak pada Mei 2018 ketika ingin bercuti enam hari sempena perayaan Gawai bersama rakan-rakan.
Beliau berkata, pegawai imigresen menunjukkan notis yang menyenaraikan beliau dalam ‘senarai suspek’.
Sekatan Sarawak itu turut menjejaskan rekod imigresen persekutuannya, sekaligus menghalang pembaharuan pasport dan menyebabkan beliau tidak dapat menemani ibu bapanya menunaikan haji.
Menurutnya, usaha untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak berkuasa juga gagal membuahkan sebarang hasil yang jelas.
FMT sedang mendapatkan maklum balas daripada Jabatan Imigresen.
