
PETALING JAYA: Segala perselisihan dalaman membabitkan rakan komponen MIC telah berjaya diselesaikan, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Zahid Hamidi.
Beliau berkata, kehadiran MIC pada Perhimpunan Agung Umno (PAU), serta dalam mesyuarat pra-majlis BN yang melibatkan wakil rakyatnya, mencerminkan kesetiaan berterusan parti itu terhadap BN.
“Pagi tadi, apabila kami adakan ‘pre-council’, Ahli-ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negara serta Adun, MIC juga datang,” katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia, lapor Berita Harian.
“Bukan hanya hantar Adun, Ahli Parlimen dan Senator, tetapi MIC juga sudah hantar timbalan presidennya sebagai wakil (parti)
“Ini memperlihatkan ‘storm in a teacup’ itu sudah selesai dan ditambah pula dengan berita gembira (penyertaan Parti Progresif Penduduk ke dalam BN) hari ini.”
Pada Jumaat, Zahid menggesa MCA dan MIC supaya kembali bersatu dan fokus terhadap BN susulan laporan parti-parti itu mempertimbangkan kemungkinan meninggalkan gabungan itu.
Zahid mengakui, keputusan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan perpaduan telah menjejaskan hubungan sesama komponen BN, khususnya MCA dan MIC.
Beliau bagaimanapun merakamkan penghargaan terhadap Presiden MCA Wee Ka Siong dan Timbalan Presiden MIC M Saravanan kerana menghadiri perasmian PAU.
MCA dan MIC mempertimbangkan untuk keluar daripada BN selepas dikatakan dipinggirkan oleh Umno sejak kerajaan perpaduan dibentuk.
Minggu lepas, Saravanan berkata, MIC akan memutuskan masa depannya dalam BN hanya selepas Thaipusam, yang jatuh pada 1 Feb.
Pada Jumaat, Wee menepis spekulasi bahawa MCA mungkin meninggalkan BN, sambil menyatakan isu itu tidak berbangkit pada peringkat ini.
