
KLANG: Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berkata parti itu tidak tergugat dengan seruan terbaharu daripada parti lawan yang mahu menyerang DAP, sambil menegaskan fokusnya kekal kepada isu penting untuk rakyat.
Bagaimanapun, Loke menegaskan DAP tidak akan berundur daripada sebarang pertembungan politik.
“Mereka yang mahu melawan DAP berhak berbuat demikian – kamu boleh melawan kami, kami juga boleh melawan kamu,” katanya tanpa menyebut pihak dimaksudkan.
Menurut Loke, sejak awal penglibatan dalam politik dan penubuhan DAP, parti itu bukan ditubuhkan menentang mana-mana parti, individu atau kaum tertentu.
“Kami menyertai DAP bukan untuk melawan sesiapa, tetapi menentang rasuah, penyalahgunaan kuasa dan politik perkauman,” katanya berucap pada Konvensyen DAP Selangor.
Beliau turut menasihatkan ahli-ahli parti supaya tidak melayan ancaman sedemikian, sebaliknya memberi tumpuan kepada matlamat dan perjuangan DAP.
“Kita tidak perlu melayan pihak hala tujunya tidak jelas dan pemikirannya belum matang,” katanya.
Khamis lalu, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh mengumumkan peletakan jawatannya sebagai exco Melaka berkuat kuasa minggu depan bagi membolehkannya ‘melawan DAP habis-habisan’.
Loke juga berkata DAP tidak seharusnya meminta maaf kerana meneruskan agenda yang digariskan dalam manifesto pilihan rayanya.
“Ada agenda seperti pembaharuan institusi dan isu-isu yang dekat dengan komuniti. Kami akan berjuang untuknya dan memastikan ia diteruskan.
“Tetapi, sudah tentu, dalam Kabinet, rundingan dan dialog diperlukan untuk mencapai kata sepakat,” katanya.
Loke turut menafikan dakwaan parti itu hanya mewakili komuniti tertentu.
“DAP adalah parti untuk semua rakyat Malaysia,” katanya sambil merujuk kepada sokongan parti terhadap inisiatif yang meningkatkan keselamatan awam dan kesejahteraan ekonomi di semua komuniti.
Retorik anti-DAP dan seruan baharu untuk menyatukan semula parti-parti Melayu di bawah payung Umno menjadi perbincangan utama pada pada Perhimpunan Agung Umno 2025 (PAU2025).
