Isu 2 puak: ‘Jika itu singgung DAP, saya sedia tarik balik’, kata Zahid

Terdahulu, Loke Siew Fook nafi wujud kumpulan atau puak dalam parti itu seperti cuba digambarkan Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung Umno 2025, semalam. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Presiden Umno Zahid Hamidi sedia menarik balik kenyataannya yang menggambarkan wujud kumpulan atau puak dalam DAP, jika ia menyinggung sekutunya dalam kerajaan perpaduan itu.

Zahid menjelaskan beliau tidak pernah bermaksud menggambarkan kewujudan dua kem dalam DAP sebaliknya hanya memperjelas kenyataan bercanggah dari segelintir kecil kepimpinan yang bukan keputusan rasmi parti itu berhubung isu dibangkitkan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh.

“Itu cuma satu gambaran, bukan satu keabsahan kewujudan team di dalam DAP. Jika itu menyinggung DAP, saya menarik balik apa yang saya sebutkan itu.

“Bukan maksud saya untuk menggambarkan ada atau wujud dua kem dalam parti berkenaan,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Agung PPP.

Terdahulu, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook menafikan wujud kumpulan atau puak dalam parti itu seperti cuba digambarkan Zahid pada Perhimpunan Agung Umno 2025 yang berakhir semalam.

Loke menegaskan tiada ‘Team A,B atau C’ dalam parti itu sebaliknya hanya ada satu pasukan iaitu ‘Team DAP sahaja’.

Zahid didakwa memberi gambaran Loke memberitahunya tentang kewujudan ‘Team B’ dalam DAP yang tidak sehaluan dengan kepimpinan utama parti itu.

Dakwanya, puak itu menjadi dalang di sebalik beberapa kenyataan ditujukan kepada bekas perdana menteri Najib Razak, yang kini dipenjarakan.

Zahid dilaporkan berkata mereka yang bertindak menyerang Najib dan Akmal adalah sebahagian daripada ‘Team B’ DAP, sekali gus membayangkan wujudnya perpecahan dalam parti itu.

Author: admin