Kena telus lantik pendakwa raya demi kembali keyakinan awam, kata peguam

agc
Undang-undang mengawal cadangan pelantikan pendakwa raya baharu tidak boleh dibenarkan beliau mempunyai budi bicara mutlak mengendalikan pendakwaan jenayah, kata peguam Salim Bashir.

PETALING JAYA: Pengasingan pejabat pendakwa raya daripada peguam negara mesti dilaksanakan atas semangat ketelusan dan kebertanggungjawaban, kata peguam.

Mereka mengingatkan bahawa pindaan sekadar bersifat struktur atau kosmetik terhadap Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang lain tidak akan memulihkan keyakinan orang awam, memandangkan pendakwa raya mempunyai kawalan terhadap semua prosiding jenayah.

Peguam S N Nair berkata, sebarang reformasi yang tidak merangkumi jaminan tempoh perkhidmatan bagi pemegang jawatan itu akan dianggap kosong dan tidak bermakna.

“Perlindungan Perlembagaan yang asal mengenai jaminan tempoh perkhidmatan seperti termaktub dalam Perkara 145 sebelum dipinda mesti dikembalikan, jika tidak reformasi ini berisiko sekadar menjadi simbolik dan bukannya substantif,” katanya kepada FMT.

S N Nair
S N Nair.

Beliau berkata demikian mengulas pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 5 Jan lalu, mengenai siri reformasi institusi, termasuk rang undang-undang (RUU) yang sekian lama dinantikan bagi pemisahan kuasa pendakwaan daripada peguam negara.

RUU tersebut dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini.

Di bawah pengaturan Perlembagaan sedia ada, peguam negara yang juga berkhidmat sebagai pendakwa raya, dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri dan memegang jawatan tersebut selama mana diperkenankan baginda.

Nair berkata, ini menunjukkan peralihan yang jelas daripada reka bentuk asal Perlembagaan Merdeka 1957, di mana Perkara 145 telah disusun dengan teliti bagi memastikan kebebasan pendakwaan.

Namun, katanya perlindungan tersebut dihapuskan susulan pindaan Perlembagaan pada 1963.

Nair, yang sebelum ini mewakili Anwar dalam kedua-dua prosiding jenayah dan sivil semasa perdana menteri menjadi ketua pembangkang, menambah di bawah kerangka Perlembagaan asal, pendakwa raya tidak boleh dipecat sewenangnya.

Pemecatan hanya dibenarkan atas alasan sama dan melalui cara sama seperti seorang hakim Mahkamah Persekutuan, iaitu menerusi proses tribunal, melainkan pemegang jawatan tersebut memilih bersara sukarela.

Beliau berkata, sekiranya Malaysia serius memulihkan keyakinan awam terhadap kebebasan pendakwaan, satu pindaan utama mesti secara mandatori memperuntukkan jaminan Perlembagaan bagi tempoh perkhidmatan.

Peguam Salim Bashir, berkata pengasingan berkenaan akan menjadi satu reformasi Perlembagaan yang amat bermakna dalam sistem keadilan jenayah negara, seterusnya membantu memulihkan kepercayaan orang awam.

Salim Bashir
Salim Bashir.

Beliau berkata, ketika ini dua jawatan peguam negara dan pendakwa raya dipegang individu sama, dan dalam kes tertentu ia boleh menimbulkan konflik kepentingan.

“Sebagai pendakwa raya, peguam negara dikehendaki bertindak secara bebas dan saksama. Namun, kepentingan pelanggan (kerajaan memerintah) mungkin tidak selari sepenuhnya dengan kepentingan awam,” kata Salim, yang merupakan bekas presiden Badan Peguam.

Beliau berkata, pengasingan tersebut perlu menjelmakan tadbir urus baik dan ketelusan demi melindungi kedaulatan undang-undang serta kebebasan pejabat pendakwa raya.

Salim juga berkata, budi bicara mutlak pendakwa raya dalam melaksanakan kuasanya untuk mengarahkan pendakwaan jenayah harus disekat melalui pindaan terhadap Perkara 145(3) Perlembagaan.

“Mahkamah sepatutnya dibenar campur tangan dan mempersoalkan pelaksanaan budi bicara pendakwa raya, contohnya apabila perbicaraan sudah berada di peringkat pembelaan,” katanya.

Beliau berkata, bagi tujuan kebertanggungjawaban, penting bagi pejabat pendakwa raya membentangkan laporan kepada Parlimen bagi tujuan penelitian.

Peguam Kitson Foong, berkata pengasingan peranan merupakan reformasi institusi yang rumit kerana memerlukan rombakan besar-besaran terhadap undang-undang sedia ada dan struktur perkhidmatan awam.

Beliau berkata, memandangkan kedua-dua jawatan tersebut kini terletak di bawah skim perkhidmatan awam yang sama, pelbagai aspek teknikal seperti gaji, gred jawatan, dan garis pelaporan perlulah diselaraskan semula bagi memastikan autonomi sepenuhnya bagi pejabat pendakwa raya baharu.

Foong berkata, struktur Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan sedia ada mestilah direformasi supaya pendakwa raya yang bebas mempunyai kawalan penuh ke atas kakitangannya sendiri.

“Sebagai contoh, sebuah suruhanjaya perkhidmatan pendakwaan awam mestilah ditubuhkan — menjadi entiti berasingan di bawah kawalan pendakwa raya yang bebas,” katanya.

Foong berkata, perkara berkenaan akan memberikan kuasa kepada pendakwa raya mengurus kakitangan mereka sendiri, sekali gus menutup sebarang ruang campur tangan pihak eksekutif dalam kerjaya pendakwa raya.

“Undang-undang baharu juga diperlukan bagi memastikan gaji dan bajet pendakwa raya dicaj terus kepada Kumpulan Wang Disatukan (sama seperti hakim), bagi menghalang sebarang cubaan memotong dana daripada menjadi alat tekanan politik,” katanya.

Foong berkata, Seksyen 376(1) Kanun Prosedur Jenayah juga perlu dipinda untuk menamakan pendakwa raya yang baharu dan bebas itu sebagai pihak berkuasa tertinggi, bertanggungjawab terhadap kawalan dan arahan bagi semua pendakwaan jenayah.

Author: admin