Umno mahu bentuk ‘kerjasama agung’ parti Melayu Islam

Zahid Hamidi beri jaminan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim beliau tidak mempunyai agenda untuk ‘menebuk atap’ kerajaan perpaduan.

KUALA LUMPUR: Presiden Umno Zahid Hamidi meminta ‘restu’ perwakilan untuk membentuk satu ‘gabungan besar’ yang menghimpunkan parti politik Melayu-Islam.

Berucap pada penggulungan Perhimpunan Agung Umno 2025 di Dewan Merdeka, Zahid bagaimanapun menegaskan langkah itu sama sekali tidak berniat menggugat kerajaan perpaduan sedia ada.

“Saya mohon persetujuan perwakilan untuk membentuk gabungan besar bagi menyatukan seluruh parti politik Melayu-Islam dalam satu gabungan, dengan tidak berhajat menggugat kerajaan perpaduan yang ada,” katanya.

Beliau berkata, terdapat pihak yang sudah ‘merisik dan meminang’ Umno untuk kerjasama lebih rapat, dan beliau secara terbuka menerima risikan itu dengan syarat ia tidak mengganggu kestabilan kerajaan perpaduan.

“Apa yang saya bayangkan memang ada yang merisik dan meminang. Dengan ini, risikan itu diterima secara rasmi dengan syarat tidak mengganggu kerajaan perpaduan,” katanya.

Zahid turut memberi jaminan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim beliau tidak mempunyai agenda untuk ‘menebuk atap’ kerajaan perpaduan.

“PM, jangan risau saya tiada niat atau agenda untuk tebuk atap,” katanya disambut tepukan perwakilan.

Sementara itu, pada sidang medianya Zahid berkata cadangan ‘kolaborasi agung’ lahir daripada suara akar umbi dan perwakilan yang mahu penyatuan politik Melayu-Islam digerakkan secara lebih tersusun dan strategik.

“Ini bukan idea saya seorang, tetapi desakan akar umbi yang mahu agenda Melayu dan Islam digerakkan secara bersama dan lebih terancang,” katanya.

Mengulas bentuk serta mekanisme kolaborasi itu, Zahid berkata tiada sebarang jawatankuasa rasmi ditubuhkan buat masa ini, namun kerja awal akan dimulakan melalui siri pertemuan antara pimpinan tertinggi parti terlibat.

Beliau berkata, Umno akan mengambil langkah pertama untuk mengadakan pertemuan termasuk dengan PAS, Bersatu serta parti dan NGO Melayu-Islam lain, berdasarkan perbincangan awal pernah diadakan sebelum ini.

“Umno akan memulakan langkah ini, kerana kita percaya penyatuan mesti bermula dengan keberanian untuk duduk semeja,” katanya.

Zahid menjelaskan, pertemuan akan melibatkan kepimpinan utama seperti presiden, timbalan presiden, naib presiden, setiausaha agung dan ketua penerangan parti masing-masing bagi memastikan perbincangan lebih terarah dan bermakna.

“Ia perlu dipimpin oleh ‘top leadership’ supaya hala tuju kolaborasi ini jelas dan teratur,” katanya.

Author: admin