Tok Mat dakwa ada ‘tangan’ usik garis merah pancing Umno keluar kerajaan

Timbalan Presiden Mohamad Hasan berkata Umno menetapkan beberapa garis merah yang perlu dihormati semua pihak.

KUALA LUMPUR: Ada usaha pihak tertentu sengaja mengusik garis merah dipersetujui bersama dalam pembentukan kerajaan dengan tujuan memancing Umno keluar kerajaan perpaduan, dakwa Timbalan Presiden Mohamad Hasan.

Beliau berkata, sebelum bersetuju menubuhkan kerajaan, Umno menetapkan beberapa garis merah yang perlu dihormati semua pihak dan pelanggaran boleh menyebabkan parti itu menilai semula kedudukan dalam kerajaan, sama ada berada dalam Kabinet atau sebaliknya.

“Saya yakin dan percaya, ini pandangan saya sendiri, bahawa ada tangan-tangan cuba untuk mengusik-usik garis merah yang saya sebutkan tadi itu adalah dibuat dengan sengaja.

“Ada pihak yang rasa amat sakit hati, merasakan keberadaan Umno dalam kerajaan hari ini sebagai duri dalam daging kepada mereka,” katanya dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Mohamad lebih dikenali Tok Mat berkata, tindakan mencabar garis merah itu kerana tidak senang dengan pendirian tegas Umno dalam membantah beberapa cadangan dibawa pihak tertentu dalam Kabinet.

“Apa yang mereka nak buat, kalau Umno tak bersetuju dalam Kabinet, maka Kabinet tidak akan dapat persetujuan. Ini yang mereka rasa amat sakit hati,” katanya.

Dakwanya, usaha itu bertujuan menaikkan emosi pimpinan dan penyokong Umno supaya parti tersebut keluar kerajaan, sekali gus membuka ruang kepada pihak tertentu berkuasa tanpa semak dan imbang.

“Maka bersoraklah mereka jika kita buat begitu (keluar kerajaan). Ini pun yang mereka hendak.

“Maka, berulanglah kembali kerajaan PH1.0 di mana mereka dengan sewenang-wenangnya buat apa sahaja yang mereka suka kerana tidak ada suara akan membantah, yang akan membangkang di dalam apa jua mereka lakukan,” katanya.

Author: admin