
PETALING JAYA: Agenda reformasi yang giat dilaksanakan berada di landasan betul, tegas Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi, menyangkal dakwaan segelintir pihak bahawa usaha pembaharuan kerajaan bergerak terlalu perlahan
Mempertahankan pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Zahid berkata, kerajaan sedia ada terlebih dahulu perlu membersihkan pelbagai kelemahan dan kerosakan yang ditinggalkan oleh pentadbiran terdahulu.
Justeru, katanya, tidak wajar kerajaan dituduh terlalu berhati-hati atau lambat dalam melaksanakan reformasi institusi kerana setiap gerak kerja ada ‘susur-galurnya’.
“Perdana menteri sudah dan sedang melakukan yang terbaik dalam melaksanakan agenda reformasi negara,” kata Zahid yang juga presiden Umno kepada FMT.
“Tidak wajar beliau dilabel ‘perlahan’ kerana kerajaan terpaksa membuang pelbagai ‘paku dan jerangkap samar’ yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu.”
Zahid mengulas pandangan reformasi institusi di bawah kerajaan perpaduan bergerak perlahan dan terlalu berhati-hati sejak mula mentadbir Putrajaya pada Disember 2022.
Menurutnya, kerajaan kini baru masuk tahun ketiga mentadbir negara, sedangkan setiap penggal kerajaan diperuntukkan tempoh lima tahun bagi memastikan dasar serta agenda yang dirancang dapat dilaksanakan secara berperingkat dan berkesan.
“(Kerajaan perpaduan) baru tiga tahun (mentadbir). Dalam tempoh itu, kita mempunyai banyak perancangan dan setiap perancangan memerlukan masa yang mencukupi untuk dijelmakan,” katanya.
Zahid turut mengingatkan kerajaan perpaduan telah mencatatkan pelbagai pencapaian yang boleh dinilai sendiri oleh rakyat, termasuk pada peringkat antarabangsa.
Beliau turut menzahirkan keyakinan penuh terhadap kepimpinan Anwar, menegaskan bahawa perdana menteri komited untuk membawa negara ke arah pembaharuan yang lebih menyeluruh dan mampan.
Anwar pada 5 Jan lalu mengumumkan kerajaan akan melaksanakan beberapa langkah reformasi institusi antaranya membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) untuk mengehadkan tempoh seseorang memegang jawatan perdana menteri selama 10 tahun.
Turut dibentang pada sesi Parlimen tahun ini, pemisahan kuasa antara peguam negara dan pendakwa raya, Ombudsman dan akta kebebasan maklumat.
