
PETALING JAYA: Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh berkata sekiranya beliau boleh memilih untuk ‘duduk semeja dengan DAP’ jika mengutamakan kepentingan politik peribadi termasuk potensi menang Parlimen Jasin.
Namun Adun Merlimau itu lebih selesa berpegang kepada prinsip serta memperjuangkan perpaduan Melayu-Islam, lapor Malaysia Gazette.
“Jika saya mahu menang di Jasin, saya sanggup duduk dengan DAP. Apabila undi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) digabungkan, saya boleh menang dengan majoriti besar.
“Tetapi ini bukan soal diri saya, ini soal lebih besar daripada itu,” katanya.
Kerusi Jasin kini disandang Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Zulkifli Ismail yang menang pada PRU15 dengan majoriti 322 undi. Beliau memperoleh 27,893 undi manakala BN mendapat 27,571 undi dan PH 21,675 undi.
DAP antara komponen dalam PH yang bersama dengan Umno membentuk kerajaan perpaduan di Putrajaya selain beberapa negeri termasuk Melaka.
Khamis lalu, Akmal meletak jawatan sebagai exco kemajuan desa, pertanian dan keterjaminan Melaka, dengan menzahirkan melawan DAP habis-habisan.
Beliau turut berikrar ‘melahirkan 300,000 Akmal’ bagi berdepan pihak yang mengkritiknya termasuk DAP.
Pada konvensyen khas Pemuda Umno 3 Jan lalu, beliau menggesa Umno keluar kerajaan untuk bekerjasama dengan PAS menerusi Muafakat Nasional (MN).
Namun, Presiden Umno Zahid Hamidi menegaskan parti itu kekal dalam pentadbiran diketuai Anwar Ibrahim.
Bukan ejen PN, tetapi mahu satukan Melayu (sub head)
Menolak dakwaan beliau ejen PN, Akmal menyifatkan dirinya sebagai ‘ejen perpaduan Melayu’, memandangkan masyarakat itu telah lama berpecah dan berkonflik.
“Apabila orang Melayu yang menjadi majoriti berpecah kepada terlalu banyak parti, kuasa politik mereka menjadi lemah.
“Apabila kuasa politik Melayu melemah, ada pihak yang mengambil kesempatan,” katanya.
Apabila ditanya sama ada gagasan perpaduan Melayu-Islam terhad kepada Umno, PAS dan Bersatu, Akmal berkata ia tidak semestinya terikat kepada tiga parti itu sahaja.
“Jika ada orang Melayu dalam PKR yang berkongsi perjuangan dan percaya kepada agenda ini, mereka dialu-alukan. Tiada masalah,” katanya.
