Pemilihan Umno tangguh hingga lepas PRU, kata Zahid

zahid hamidi
Presiden Umno Zahid Hamidi, berkata pemilihan dua jawatan tertinggi juga akan diputuskan selepas PRU.

KUALA LUMPUR: Presiden Umno Zahid Hamidi mengesahkan pemilihan parti akan ditangguhkan sehingga selepas PRU akan datang, selaras peruntukan perlembagaan parti.

“Selepas pilihan raya,” katanya ditanya berkait pemilihan Umno ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) sempena Perhimpunan Agung Umno 2025.

Mengulas sama ada dua jawatan tertinggi parti akan dipertandingkan, beliau sekali lagi menegaskan perkara itu hanya akan diputuskan selepas PRU.

“Kita tunggu selepas pilihan raya,” katanya.

Zahid berkata, perlembagaan Umno memperuntukkan tempoh masa sehingga 18 bulan bagi pelaksanaan pemilihan parti, susulan pindaan dibuat sebelum ini.

Menurutnya, pemilihan boleh diadakan sama ada dalam tempoh 18 bulan daripada tarikh akhir tahun pemilihan atau selepas PRU, bergantung kepada mana yang berlaku terlebih dulu.

Di bawah Fasal 10.16 perlembagaan Umno, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) diberi kuasa menangguhkan pemilihan di peringkat pusat, bahagian dan cawangan, tertakluk kepada syarat tertentu.

Fasal 10.16.1 menetapkan penangguhan pemilihan tidak boleh melebihi enam bulan selepas PRU Parlimen, dengan syarat sekurang-kurangnya satu pemilihan perlu diadakan dalam satu penggal Parlimen.

Ini bermakna, pemilihan Umno berpotensi diadakan seawal pertengahan 2027 berdasarkan peruntukan tempoh 18 bulan itu, manakala PRU seterusnya perlu diadakan selewat-lewatnya pada Februari 2028.

Author: admin