
KUALA LUMPUR: Presiden Umno Zahid Hamidi ‘memujuk’ parti komponen – MCA dan MIC – supaya tidak lagi merajuk untuk keluar gabungan dan kembali berpaut di bawah rumah besar Barisan Nasional (BN).
Dalam ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Umno 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Zahid berkata hubungan adik-beradik sudah pasti akan ada yang ‘tergigit’, namun perlu kembali berpaut.
“Merajuk lah, tak apa.. merajuk sekejap lepas tu marilah balik tetapi janganlah merajuk lagi, kita pun tak larat nak pujuk.
“Balik ke sini, duduk di rumah besar ini kita sama-sama lah… kita rakyat Malaysia kita sahabat dalam BN,” katanya disambut sorakan gemuruh perwakilan yang memenuhi Dewan Merdeka.
Beliau berkata, walaupun penyertaan Umno dalam kerajaan perpaduan dibuat atas kepentingan negara, ia tidak dapat dinafikan telah mengundang ketegangan dalam BN – gabungan diasaskan bersama Umno, MCA dan MIC sejak 51 tahun lalu.
“Keberadaan kita di dalam kerajaan perpaduan walaupun atas kepentingan negara, ia telah mengundang keretakan hubungan mesra sesama parti komponen BN, tapi Alhamdulillah, semua ada di depan kita sekarang ini.
“Hingga ada yang buat keputusan untuk tinggalkan hubungan yang selama ini menjadi tonggak kestabilan, ada yang merajuk nak masuk kat sana (merujuk Perikatan Nasional), sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula adik beradik,” kata Zahid.
BERITA LANJUT MENYUSUL
