
PETALING JAYA: Tiga mayat rentung dalam kebakaran kilang di kawasan perindustrian Olak Lempit di Banting, Kuala Langat malam kelmarin disyaki etnik Rohingya.
Ketua Polis Kuala Langat, Mohd Akmalrizal Radzi, berkata ia berdasarkan pengecaman oleh individu dipercayai waris mangsa.
“Kita hantar ke Hospital Banting untuk dibuat ujian DNA dan ada tiga individu yang juga etnik Rohingya mengaku waris kepada mangsa merujuk kad pelarian UNHCR (Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Pelarian).
“Selepas hasil keputusan DNA daripada Hospital Banting, polis akan maklum semula identiti ketiga-tiga mangsa,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau berkata, polis masih menyiasat sebab tiga mangsa berada dalam kilang tidak beroperasi ketika kejadian.
Semalam, polis mengesahkan tiga mayat rentung ditemui ketika pemeriksaan lanjut bomba kira-kira 11 pagi susulan kebakaran yang dilaporkan berlaku sekitar 10.05 malam itu.
Siasatan bomba mendapati kilang memproses sisa minyak dan kilang bahan polimer di bangunan kelas B terbakar 100%.
