Kad Pokemon dicuri dalam rompakan bersenjata di New York

Woman sells prized Pokémon cards to join next Sumud Flotilla mission
Kad Pokemon memaparkan ‘little monsters’ menjadi tarikan kanak-kanak, peminat tegar serta pengumpul, dengan berbilion kad dicetak dan sebahagiannya dijual pada harga jutaan dolar. (Gambar Bernama)

NEW YORK: Beberapa kad Pokemon bernilai tinggi dicuri dalam rompakan bersenjata di sebuah kedai di New York, kata polis Amerika Syarikat (AS) pada Khamis, dengan barangan bernilai kira-kira USD100,000 dilaporkan hilang.

Imej dikongsi kedai itu menunjukkan seorang lelaki berpakaian serba hitam dan berhud mengacukan objek berbentuk pistol ke arah seorang individu yang duduk dengan tangan terangkat.

Media AS melaporkan nilai beberapa kad dicuri itu mencecah USD5,500 setiap satu.

Kad Pokemon memaparkan “little monsters” menjadi tarikan kanak-kanak, peminat tegar dan pengumpul, dengan berbilion kad dicetak dan sebahagiannya dijual pada harga jutaan dolar AS.

Awal bulan ini, kad Pokemon bernilai kira-kira USD300,000 dicuri dalam satu lagi rompakan bersenjata di California.

Polis New York berkata, mereka menerima laporan pada lewat Rabu memaklumkan tiga lelaki memasuki premis The Poke Court di Manhattan dan “mengacukan senjata api serta mengugut individu”.

“Mereka kemudian mengambil beberapa barangan, wang tunai dan sebuah telefon,” kata jurucakap.

Tiada tangkapan setakat ini.

Courtney Chin, pemilik The Poke Court dalam video dimuat naik ke Instagram berkata, semua pelanggan dan kakitangannya selamat. Beliau bercakap di depan rak pameran yang dipecahkan.

Kedai itu menyenaraikan beberapa kad dicuri, setiap satu disimpan dalam sarung plastik pelindung “slabs” yang mengesahkan ketulenannya.

Kad dicuri itu termasuk watak terkenal Pokemon seperti Pikachu.

Ketika kejadian, beberapa individu berada dalam kedai Manhattan itu untuk menghadiri sebuah acara komuniti.

Watak daripada permainan Pokemon diadaptasi ke dalam filem, siri animasi dan pelbagai barang dagangan.

Francais itu mencatatkan hasil pelesenan USD12 bilion pada 2024, menurut penerbit khusus License Global – lebih tinggi daripada gergasi mainan Mattel.

Author: admin