
PETALING JAYA: Jabatan Kesihatan Johor sedang menyiasat dakwaan seorang doktor di Klinik Kesihatan Pekan Nanas telah menyebabkan rahim seorang wanita bocor selain usus dan apendiksnya pecah ketika dimasukkan alat pencegah kehamilan dalam rahim (IUCD).
Jabatan itu berkata Pejabat Kesihatan Pontian telah memulakan siasatan selepas satu aduan dibuat melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) pada 23 Disember.
Menurutnya, pesakit berkenaan menjalani prosedur pemasangan IUCD di klinik tersebut pada 19 Disember sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah untuk rawatan selepas mengalami komplikasi.
“Jabatan Kesihatan Johor memandang serius insiden ini. Satu jawatankuasa siasatan telah ditubuhkan bagi meneliti perkara ini secara menyeluruh dan tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan dapatan siasatan.
“Kementerian Kesihatan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk ketidakpatuhan atau amalan yang menjejaskan keselamatan pesakit serta kualiti perkhidmatan kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Pesakit tersebut dilaporkan mendakwa mengalami sakit perut ketika IUCD dimasukkan, namun pegawai perubatan yang menjalankan prosedur itu memaklumkan bahawa keadaan tersebut adalah normal.
Satu laporan polis juga dikatakan telah dibuat terhadap doktor berkenaan atas dakwaan kecuaian perubatan.
