
PETALING JAYA: Seorang lelaki mendakwa tidak dapat memperbaharui pasport atau ke luar negara sejak tujuh tahun lalu selepas dilarang memasuki Sarawak.
Hafiz Hamid, penulis teknikal yang menetap di Subang Jaya, berkata beliau pertama kali dilarang memasuki Sarawak pada Mei 2018 ketika tiba di Lapangan Terbang Sibu untuk lawatan enam hari bagi meraikan Gawai bersama rakannya.
Menurutnya, pegawai imigresen menunjukkan satu notis menyatakan namanya dalam “senarai suspek” dan menolak kemasukannya, walaupun beliau pernah ke Sarawak lebih 10 kali melalui Lapangan Terbang Kuching.
Tiga rakannya dari Semenanjung dibenarkan memasuki Sarawak, tetapi Hafiz diarahkan menaiki penerbangan pulang ke Kuala Lumpur.
Katanya, sekatan itu turut menjejaskan rekod imigresen persekutuan yang menyebabkan beliau tidak dapat memperbaharui pasport.
Lelaki 42 tahun itu mengemukakan rayuan selepas permohonan memperbaharui pasport pada 2023 ditolak dan menerima resit dengan tulisan tangan: “sekatan oleh Imm Sarawak”.
“Saya langsung tidak dapat ke luar negara sejak 2018,” katanya kepada FMT sambil menambah keadaan itu amat sukar kerana ibu bapanya yang berusia berharap dapat menunaikan umrah dan haji bersamanya.
“Ibu saya menangis setiap musim haji. Tanpa pasport, saya tidak boleh (buat apa-apa).”
Hafiz berkata, cubaannya mendapatkan penjelasan pihak imigresen Sarawak dan persekutuan tidak berhasil.
“Saya tidak pernah didakwa atau disoal mana-mana pihak berkuasa. Saya masih tidak tahu apa kesalahan yang saya lakukan.”
Peguam Shamsher Singh Thind mewakili Hafiz berkata, beliau bercadang mengeluarkan surat tuntutan kepada Jabatan Imigresen, selain menyifatkan tiada penjelasan pihak berkaitan “tidak adil dari segi prosedur dan mungkin tidak sah di sisi undang-undang”.
FMT sudah menghubungi Jabatan Imigresen Sarawak dan persekutuan untuk mengulas.
