
KUALA LUMPUR: Hala tuju Umno untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik hanya akan dimuktamadkan menjelang PRU, kata seorang pemimpin Umno, di tengah-tengah kebimbangan akar umbi terhadap kerjasama parti itu dengan DAP dalam kerajaan perpaduan.
Ditemui FMT selepas amanat presiden sempena Perhimpunan Agung Umno 2025, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Ahmad Said berkata perkara itu antara disentuh Presiden Zahid Hamidi di hadapan lebih 6,412 perwakilan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Beliau yang juga bekas menteri besar Terengganu berkata, keutamaan parti ketika ini adalah memastikan pembentukan kerajaan dilaksanakan mengikut lunas Perlembagaan dan sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan negara.
“Soal hala tuju dan strategi Umno belum dimuktamadkan sepenuhnya dan akan ditentukan pada masa yang sesuai, khususnya menjelang pilihan raya akan datang.
“Perkara paling penting sekarang ialah membentuk kerajaan. Apabila sesebuah kerajaan perlu dibentuk, ia semestinya melibatkan gabungan parti tertentu demi kepentingan negara.
“Strategi parti tidak boleh didedahkan sepenuhnya lebih awal. Jika semuanya diketahui sekarang, ia bukan lagi satu strategi,” katanya.
Memasuki tempoh empat tahun dalam kerajaan perpaduan, Umno menikmati beberapa kelebihan menerusi kerjasama itu, termasuk jawatan kanan Jemaah Menteri dan kembali berkuasa di persekutuan, walaupun prestasi lemah ketika PRU15 pada 2022 dengan hanya menang 26 kerusi.
Bagaimanapun, hubungan dengan Pakatan Harapan (PH), terutamanya DAP, terus menjadi punca perpecahan dalam kalangan ahli akar umbi parti.
Ketegangan ini bertambah apabila Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, menggesa parti keluar daripada kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim dan menghidupkan semula Muafakat Nasional bersama PAS, satu posisi yang tegas ditolak oleh Zahid.
Sementara itu, Ahmad menggesa golongan muda memainkan peranan lebih matang dan bertanggungjawab dalam menentukan hala tuju negara, khususnya dalam menilai keberkesanan kerajaan sedia ada.
Katanya, pengundi muda dan pengundi baharu perlu bersikap lebih kritikal serta tidak terlalu bergantung kepada maklumat daripada media sosial seperti TikTok, yang boleh mengelirukan dan mempengaruhi persepsi tanpa asas kukuh.
“Kebanyakan mereka bergantung kepada maklumat di media sosial seperti TikTok dan mudah terpengaruh, sehingga ada yang kelihatan keliru serta hilang keyakinan.
“Golongan muda perlu lebih matang, kreatif dan berfokus, serta mampu menilai keberkesanan kerajaan sedia ada secara rasional,” katanya.
