Sekretariat Himpun gesa kerajaan batal kajian akta tangani rusuhan

Pengarah Eksekutif Suaram, Azura Nasron (empat kiri) bersama wakil NGO dan masyarakat sivil dalam sidang media di ibu pejabat Suaram hari ini.

PETALING JAYA: Sekretariat Himpun yang terdiri daripada lebih 30 NGO dan masyarakat sivil, menggesa kerajaan membatalkan serta-merta kajian akta-akta berkaitan dalam menangani rusuhan
di Malaysia kerana didakwa berat sebelah.

Pengarah Eksekutif Suaram, Azura Nasron, yang juga jurucakap Sekretariat Himpun, berkata kajian itu menimbulkan kebimbangan serius dari sudut hak asasi manusia kerana berpotensi menjejaskan hak berhimpun secara aman.

“Kerangka soalan yang digunakan dalam kajian juga adalah berat sebelah dan gagal membezakan secara jelas antara perhimpunan aman dan rusuhan, serta cenderung menormalisasi pendekatan pencegahan dan hukuman yang bercanggah dengan piawaian hak asasi manusia.

“Meneruskan kajian ini hanya akan mengukuhkan naratif bahawa kebebasan berhimpun merupakan ancaman, bukannya hak yang dijamin Perlembagaan Persekutuan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Suaram.

Azura berkata kerajaan sepatutnya menyegerakan pindaan Akta Perhimpunan Aman 2012 (PAA) dengan menetapkan garis masa yang jelas.

Katanya, sehingga kini sekretariat belum menerima sebarang komitmen atau jawapan rasmi berhubung pindaan itu sejak pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, pada September tahun lalu.

“Kelewatan berterusan ini mencerminkan kegagalan politik untuk melaksanakan pembaharuan yang telah lama dijanjikan, walaupun PAA terbukti mengandungi pelbagai peruntukan yang bercanggah dengan prinsip hak berhimpun secara aman,” katanya.

Beliau juga menggesa kerajaan mendedahkan secara terbuka tujuan sebenar kajian tersebut dijalankan, agensi atau pihak yang menaja dan membiayai penyelidikan, serta proses pemilihan penyelidik atau institusi yang terlibat.

Katanya, ketiadaan ketelusan dan akauntabiliti berisiko menjadikan kajian itu sebagai alat pengesahan dasar (policy justification) yang ditentukan terlebih dahulu, bukannya satu usaha bebas dan berintegriti untuk memahami realiti serta memperkukuh perlindungan hak asasi manusia.

Sebelum ini dilaporkan, Kementerian Dalam Negeri dengan kerjasama Institut Keselamatan Awam Malaysia serta penyelidik daripada universiti awam yang diketuai Universiti Kebangsaan Malaysia menjalankan kajian mengenai akta-akta berkaitan dalam menangani rusuhan yang bermula pada 24 Okt lalu.

Author: admin