Kartel tipu bida tender lebuhraya CSR, 2 syarikat berdepan penalti

mycc
Pengerusi MyCC, Idrus Harun berkata berkata semua perusahaan terlibat dimaklumkan mengenai penalti kewangan dicadangkan dan diberikan tempoh 30 hari untuk kemukakan representasi bertulis.

PETALING JAYA: Dua perusahaan berdepan penalti kewangan selepas didapati terlibat dalam kartel tipuan bida melibatkan tender pembinaan Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (CSR) oleh Jabatan Kerja Raya bernilai RM285 juta.

Pengerusi Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Idrus Harun berkata berkata hasil penyiasatan mendapati perusahaan-perusahaan terbabit secara berperingkat melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010.

“Perusahaan-perusahaan tersebut didapati bersetuju untuk terlibat dalam perkongsian maklumat yang diselaraskan dan pakatan dalam penyediaan serta penyerahan bidaan mereka.

“MyCC mendapati bahawa perjanjian sedemikian mempunyai objektif untuk menghalang, menyekat atau mengekang persaingan secara ketara berhubung dengan perolehan awam berkaitan tender CSR,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, Idrus berkata keputusan cadangan hukuman itu adalah dapatan awal dan tidak boleh dianggap sebagai kesimpulan muktamad syarikat berkenaan telah melanggar akta tersebut.

Tambahnya, semua perusahaan terlibat telah dimaklumkan mengenai penalti kewangan yang dicadangkan dan diberikan tempoh 30 hari untuk mengemukakan representasi bertulis.

“MyCC hanya akan mengeluarkan keputusan akhir selepas mempertimbangkan representasi perusahaan-perusahaan itu bersama bukti semasa penyiasatan,” katanya.

Author: admin