Bekas pengerusi NGO didakwa lagi seleweng wang derma lebih RM600,000

Mohd Hakim Mohd Nor
Bekas pengerusi Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim, Mohd Hakim Mohd Nor, 39, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas 10 pertuduhan salah guna wang derma bantuan lebih RM600,000.

PETALING JAYA: Bekas pengerusi Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim sekali lagi didakwa terhadap pertuduhan salah guna wang derma bantuan misi kemanusiaan berjumlah RM631,373.13 di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini.

Mohd Hakim Mohd Nor, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap 10 pertuduhan yang dikemukakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi, menurut Harian Metro.

Dia didakwa sebagai pengerusi badan bukan kerajaan (NGO) itu secara tidak jujur menyalahgunakan harta milik pertubuhan berkenaan iaitu wang derma bantuan misi kemanusiaan dengan kerjasama NGO di Myanmar, Yaman, Syria dan Palestin.

Pertuduhan pertama membabitkan salah guna wang sebanyak RM3,000, kedua RM24,121.59, ketiga RM160,000, keempat RM48,000, kelima RM25,000, keenam RM120,002, ketujuh RM40,001.50, kelapan RM34,415, kesembilan RM40,000, dan kesepuluh RM136,833.04.

Hakim didakwa melakukan perbuatan itu antara Januari 2018 hingga Disember 2021 di tiga bank cawangan di Ipoh, Batu Gajah, dan Seri Iskandar.

Dakwaan terhadap semua 10 pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muaz Ahmad Khairuddin serta Asmaa’ Zamri mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Azizzul Shariman Mat Yusoff.

Mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk kes dipindahkan dan dibicarakan bersama di Mahkamah Sesyen 1 Ayer Keroh, Melaka.

Semalam, tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh Melaka atas enam pertuduhan salah guna wang misi kemanusiaan membabitkan lebih RM576,000.

Kelmarin, dia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dakwaan menyalahgunakan harta pertubuhan itu berjumlah RM207,000, tujuh tahun lalu.

Author: admin