
PETALING JAYA: Belia B40 diutamakan dalam latihan automotif bertauliah menerusi program biasiswa ‘Hero-in-Auto’ bernilai RM115,000 bagi memperkasa mereka dalam bidang automotif berkemahiran tinggi.
Program itu dirangka bersama Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI Selangor) melalui Yayasan MBI dengan kerjasama strategik bersama CARSOME Academy.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Selangor, Saipolyazan M Yusop, berkata TVET antara jalan paling efektif membuka peluang menambah baik status sosial dan ekonomi belia melalui inisiatif latihan yang betul, sekali gus mereka mampu membina masa depan lebih baik.
“Kualiti program latihan ditawarkan membuktikan institusi ini serius dalam melahirkan tenaga mahir yang benar-benar memenuhi kehendak industri,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Biasiswa oleh Yayasan MBI Kepada Pelajar CARSOME Academy, di Klang.
Keseluruhan, seramai 29 pelajar terdahulu telah menerima manfaat daripada program ini yang disokong oleh kerajaan Selangor.
Dalam pada itu, CARSOME Academy dalam kenyataan, berkata inisiatif ‘Empoweryouth+ 2.0’ itu membuka peluang belia B40 mengikuti latihan automotif bertauliah di bawah rangka kerja TVET nasional serta melengkapkan mereka dengan keyakinan membina masa depan dalam industri itu.
“Bagi pengambilan kali ini, seramai lapan belia daripada keluarga B40 telah terpilih sebagai penerima biasiswa.
“Dengan melengkapkan belia Malaysia dengan kemahiran relevan industri serta pengalaman praktikal, program ini bukan sahaja mengubah kehidupan, malah memperkukuh ekosistem TVET negara dan melahirkan tenaga kerja mahir yang bersedia menghadapi masa hadapan,” kata Pengasas Bersama Kumpulan CARSOME dan Ketua Pegawai Eksekutif CARSOME Academy, Teoh Jiun Ee.
Biasiswa Hero-in-Auto direka bagi merapatkan jurang antara pendidikan dan pekerjaan, sekali gus menjamin kadar penempatan pekerjaan 100% selepas tamat pengajian.
Graduan turut ditawarkan laluan kerjaya berstruktur yang membolehkan mereka membina kerjaya jangka panjang dalam industri.
