Lagi kes letupan, 1 maut alat kimpalan meletup di Melaka

alat kimpalan meletup
Bomba Melaka berkata seorang lelaki berusia 44 tahun melecur sehingga 90% dan disahkan maut di sebuah kilang kitar semula, di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai, Melaka. (Gambar JPBM)

PETALING JAYA: Lagi kes letupan berlaku kali ini mengakibatkan kematian seorang lelaki dengan seorang lagi cedera susulan alat kimpalan meletup di sebuah kilang kitar semula, dalam kejadian di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai, Melaka.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba Melaka, Mohd Hafidzatullah Rashid, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.32 tengah hari.

Katanya, seramai 11 anggota bersama sebuah jentera kemudian bergegas ke lokasi untuk operasi menyelamat dan tidak enam minit kemudian.

Beliau berkata, didapati seorang lelaki berusia 44 tahun melecur sehingga 90% dan disahkan maut di lokasi kejadian.

“Seorang lagi mangsa lelaki berusia 32 tahun mengalami kira-kira lima peratus kesan lecur pada badan. Kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Melaka untuk tindakan lanjut,” katanya kepada Berita Harian.

Beliau berkata, ketika ini operasi masih berterusan di lokasi dan pihak bomba masih menyiasat punca sebenar kejadian.

Semalam, dilaporkan seorang lelaki meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur, manakala sembilan lagi cedera dalam kejadian letupan gas penyaman udara di sebuah universiti swasta, kira-kira 11.40 pagi.

Mangsa meninggal dunia, Soo Yu Juan, 24, pelajar tahun ketiga kursus Kejuruteraan Mekanikal daripada Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), dengan seorang pelajar wanita berusia 19 tahun masih tidak sedarkan diri akibat mengalami pendarahan dalam otak serta retak pada tengkorak.

Polis berkata, letupan dipercayai berlaku di kawasan penyelenggaraan penyaman udara yang terletak bersebelahan kafeteria di tingkat empat universiti berkenaan.

Author: admin