Penganjur batal ‘Glamping with Pride’ atas faktor keselamatan

glamping with pride
Menurut Jejaka program ‘Glamping with Pride’ dibatalkan susulan kebimbangan mengenai isu keselamatan yang turut paksa pemilik lokasi penginapan di Hulu Langat batal tempahan.

PETALING JAYA: Penganjur ‘Glamping with Pride’ yang sebelum ini dikecam pelbagai pihak mengumumkan program itu dibatalkan.

Kumpulan pro lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBTQ) dikenali sebagai Jejaka berkata, program itu dibatalkan susulan kebimbangan mengenai isu keselamatan yang turut memaksa pemilik lokasi penginapan di Hulu Langat membatalkan tempahan.

Jejaka berkata, situasi keselamatan berubah secara drastik susulan pelbagai kenyataan dan reaksi pihak tertentu, termasuk amaran tindakan tegas sekiranya program diteruskan dan saranan mufti Wilayah Persekutuan agar program itu dibatalkan.

Menurut kumpulan itu, pihaknya turut menerima ugutan bunuh dan keganasan, termasuk menerusi media sosial, yang akan dirujuk kepada pihak berkuasa.

“Pembatalan ini bukan kerana aktiviti ini menyalahi undang-undang, tetapi kerana keadaan semasa yang dicetuskan oleh retorik tidak bertanggungjawab, kecelaruan maklumat dan ‘fear mongering’ sehingga menjadikan keselamatan nyawa sebagai taruhan.

“Ancaman keganasan terhadap mana-mana pihak bukanlah penyelesaian bagi apa-apa perbezaan pandangan,” katanya dalam kenyataan.

Kumpulan itu menegaskan, program tersebut bermatlamatkan pendidikan kesihatan awam, termasuk usaha mengurangkan stigma terhadap isu HIV, dan ia bukan aktiviti terbuka kepada umum.

Justeru, mereka menzahirkan kekecewaan terhadap kenyataan beberapa pihak berkuasa, institusi dan tokoh awam yang didakwa memburukkan lagi suasana sehingga mendedahkan komuniti minoriti kepada ancaman keselamatan.

“Komuniti LGBTQ+ wujud di seluruh Malaysia – di bandar dan desa, di tempat kerja dan dalam keluarga. Kami bukan ancaman dan kami bukan orang asing. Kami juga rakyat Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Jejaka berkata, pihaknya akan meneruskan usaha meluaskan pendidikan kesihatan, pengukuhan sokongan komuniti serta mempertahankan maruah dan hak asasi dalam ruang yang selamat dan bertanggungjawab.

Terdahulu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menegaskan tindakan undang-undang akan diambil jika didapati berlaku pelanggaran peraturan susulan penganjuran program ‘Glamping with Pride’ itu.

Ketua Pengarah Jakim Sirajuddin Suhaimee berkata, pihaknya memandang serius penganjuran program dikaitkan dengan usaha menormalisasikan perlakuan seks songsang yang jelas bercanggah ajaran Islam serta nilai akhlak dan budaya masyarakat dalam negara.

Mufti Wilayah Persekutuan Ahmad Fauwaz Fadzil kemudian turut menasihatkan penganjur program membatalkan atau menghentikan aktiviti yang menurutnya bertentangan fitrah manusia.

Semalam dilaporkan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan tentangan dan bantahan keras terhadap sebarang aktiviti songsang LGBT dianjurkan di negeri baginda.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Salehuddin Saidin dan Mufti Selangor Anhar Opir berkata, Sultan Sharafuddin menitahkan mereka mengambil tindakan tegas terhadap aktiviti seumpamanya.

Author: admin