YKM salur RM300 bantu persiapan sekolah 466 anak yatim Covid-19

ismail sabri yaakob
Pengerusi Yayasan Keluarga Malaysia Ismail Sabri Yaakob menggesa orang ramai mempunyai maklumat anak kehilangan ibu, bapa atau kedua-duanya akibat Covid-19 supaya menghubungi YKM bagi tujuan pendaftaran dan penilaian bantuan.

PETALING JAYA: Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) menyalurkan bantuan persekolahan kepada 466 anak yatim dan yatim piatu kehilangan ibu bapa akibat pandemik Covid-19.

Setiap pelajar berusia enam hingga 17 tahun itu menerima bantuan kewangan RM300 bagi menampung keperluan asas persekolahan, termasuk pakaian seragam, buku, alat tulis dan kos berkaitan pembelajaran.

Pengerusinya, Ismail Sabri Yaakob, berkata inisiatif itu sebahagian komitmen berterusan YKM untuk memastikan kebajikan serta masa depan pendidikan anak terkesan pandemik terus terpelihara.

“Pendidikan adalah teras utama perjuangan yayasan ini. Bermula tahun ini juga, semua anak YKM yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan mendapat tuisyen dalam talian secara percuma,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, prestasi akademik penerima akan dipantau dari semasa ke semasa bagi memastikan sokongan diberikan memberi impak jangka panjang.

Beliau menggesa orang ramai mempunyai maklumat anak yang kehilangan ibu, bapa atau kedua-duanya akibat Covid-19 supaya menghubungi YKM bagi tujuan pendaftaran dan penilaian bantuan.

Maklumat lanjut inisiatif itu boleh didapati di laman web rasmi YKM atau talian 011-53421005.

Author: admin