
PETALING JAYA: Ketua Pemuda Bersatu Hilman Idham tidak terancam dengan gesaan PAS supaya parti itu mewakili Perikatan Nasional (PN) bertanding di DUN Gombak Setia.
Bercakap kepada FMT, Hilman yang mewakili kawasan itu untuk penggal kedua berkata beliau akan akur jika parti mempunyai calon yang boleh menggantikannya.
Namun, beliau menasihatkan Pemuda PAS supaya jangan gopoh sebaliknya bekerja secara konstruktif selain bekerja dengannya atas nama PN.
“Saya tak rasa terancam pun. Selangor ada 56 kerusi, mustahil PAS nak tanding semua.
“Lagipun saya dah menang sebagai Adun selama dua penggal sejak 2018 walaupun saya bukan ‘panglima perang’,” katanya mengulas kenyataan Ketua Pemuda PAS Selangor Mohamed Sukri Omar yang partinya wajar bertanding di DUN Gombak Setia.
Pemuda PAS Gombak turut menyatakan hasrat mencabar Bersatu dan mendakwa wujud sentimen akar umbi parti itu yang semakin tidak berpuas hati dengan kepimpinan wakil rakyat sedia ada.
Gesaan itu menyusul selepas Hilman pada Ahad dilaporkan meminta semua parti komponen PN diberikan ruang untuk membuat ketetapan masing-masing terlebih dahulu sebelum keputusan dimuktamadkan berkait jawatan pengerusi dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) gabungan.
Hilman mengulas gesaan Presiden PAS Hadi Awang yang mengusulkan supaya dipanggil segera mesyuarat tergempar MT PN bagi menerima dan mengesahkan peletakan jawatan Muhyiddin Yassin selaku pengerusi gabungan, termasuk pelantikan baharu jawatan itu.
Mengulas lanjut, Hilman menegaskan paling utama ketika ini ialah PN dapat mempertahankan kerusi itu dan beliau secara peribadi tidak terlalu mengejar jawatan politik.
“Saya bukan ‘cari makan’ dengan politik. Saya tak hadap jawatan politik. Tapi tanggungjawab sebagai Adun itu memang berat, lebih-lebih lagi sebagai pembangkang,” katanya.
Pada PRU14, Hilman bertanding atas tiket PKR dan menang dengan majoriti 12,399 undi menewaskan calon PAS dan BN.
Beliau bagaimanapun menyertai Bersatu selepas mendakwa dipecat PKR susulan Langkah Sheraton pada 2020.
Hilman mempertahankan kerusi itu pada PRN Selangor 2023 apabila menewaskan Ketua Umno Selangor Megat Zulkarnain Omardin dengan majoriti 58 undi.
