
PETALING JAYA: Keputusan sama ada bekas panglima tentera darat akan disambung reman atau tidak bergantung kepada keperluan siasatan, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.
Bagaimanapun katanya, buat masa ini pihaknya tidak boleh memberikan sebarang pengesahan kerana masih mempunyai tempoh sehari lagi.
Katanya, SPRM akan memohon kepada mahkamah untuk lanjutan reman sekiranya memerlukan tempoh tambahan.
“Sebenarnya kita mempunyai tempoh 14 hari. Jadi, sekiranya esok genap tujuh hari, ia bergantung kepada keperluan siasatan (sambung reman).
“Jika memerlukan tempoh tambahan, kita akan memohon kepada mahkamah untuk mendapatkan lanjutan reman,” katanya, menurut Harian Metro.
Menurut Azam lagi, beliau akan memberikan perkembangan lanjut berkaitan kes terbabit dalam sidang media SPRM pada Khamis ini.
Sebelum ini dilaporkan bekas panglima tentera darat direman tujuh hari bermula Khamis lalu bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan rangkaian kartel tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM).
Pada 23 Disember lalu, SPRM hadir ke Kementerian Pertahanan (Mindef) dan menyiasat projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Tentera Darat.
SPRM kemudiannya memanggil tiga individu untuk dirakam keterangan berhubung kes itu.
