Bekas pegawai gesa PN hormati hak Muhyiddin berundur

marzuki
Marzuki Mohamad berkata adalah tidak wajar untuk perlembagaan PN menyatakan peletakan jawatan pengerusi mesti diluluskan oleh Majlis Tertinggi gabungan itu. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Bekas setiausaha sulit kanan kepada Muhyiddin Yassin menggesa kepimpinan Perikatan Nasional (PN) menerima keputusan presiden Bersatu itu untuk meletakkan jawatan sebagai pengerusi gabungan berkenaan.

Dalam satu hantaran di Facebook, Marzuki Mohamad berkata desakan berterusan supaya Muhyiddin berundur menjadi pencetus kepada keputusan tersebut, namun ‘beliau membuat pilihan yang rasional untuk dirinya sendiri’.

“Ya, tentu sekali ada pihak yang mahukan Muhyiddin terus memimpin. Itu hak mereka untuk menyatakan hasrat.

“Tetapi meletakkan jawatan juga adalah hak Muhyiddin. Hormatilah hak beliau,” katanya.

Beliau turut hairan mengapa dalam Perlembagaan PN, peletakan jawatan seorang pengerusi perlu mendapat kelulusan Majlis Tertinggi gabungan itu.

“Seolahnya Pengerusi tiada hak untuk berhenti. Ini tak betul.

“Saya tanya Setiausaha Eksekutif PN siapa yang deraf perlembagaan itu. Dia kata dia yang deraf dan telah ditunjukkan kepada saya sebelum dihantar ke ROS untuk kelulusan. Saya tak ingat. Kalau pernah ditunjukkan kepada saya, maka salah saya lah,” katanya.

Pada Sabtu, FMT melaporkan bahawa perasaan tidak senang berhubung potensi Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar menjadi pengerusi PN mencetuskan desas-desus mengenai Muhyiddin kembali sebagai kemudi.

Sumber dalaman PN mendakwa, beberapa pemimpin Bersatu tidak selesa dengan idea seorang naib presiden parti menerajui gabungan pembangkang itu. Mereka berhujah bahawa PN sepatutnya dipimpin seorang presiden parti seperti yang diamalkan oleh Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Sumber yang enggan dinamakan itu berkata kebimbangan berkenaan mungkin menyaksikan Bersatu mendesak presidennya, Muhyiddin, menuntut semula jawatan tersebut.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang, telah memanggil satu mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi PN bagi mengesahkan peletakan jawatan Muhyiddin dan melantik penggantinya.

Terdapat gesaan daripada pemimpin PAS supaya parti itu menerajui PN sejak Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatan daripada jawatan tersebut, yang disandangnya selama lima tahun lalu, di tengah-tengah ketegangan dalam gabungan pembangkang itu.

Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden semalam menyindir secara halus rakan sejawatnya dari Bersatu, Hilman Idham selepas beliau berkata komponen PN memerlukan masa untuk membuat keputusan masing-masing berhubung jawatan pengerusi gabungan tersebut.

Menjawab kenyataan Hilman bahawa proses dalaman setiap parti perlu dihormati, Afnan berkata rasa hormat seharusnya bersifat timbal balas dalam kalangan rakan.

Author: admin