Pengerusi NGO didakwa seleweng dana misi kemanusiaan RM207,000

Hakim Nor
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim Hakim Nor didakwa menyeleweng dana yang dikumpul untuk membantu Myanmar, Yaman, Syria, dan Palestin.

KUALA LUMPUR: Seorang pemimpin sebuah NGO mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyalahgunakan dana misi kemanusiaan luar negara berjumlah RM207,000, tujuh tahun lalu.

Tertuduh yang juga pengerusi Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim, Hakim Nor didakwa melakukan kesalahan itu di cawangan Maybank Islamic Bhd di Dayabumi pada 27 Dis 2019.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki berusia 38 tahun itu didakwa menyalahgunakan wang yang diperuntukkan untuk membantu Myanmar, Yaman, Syria dan Palestin.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan kerana penyalahgunaan harta secara tidak jujur, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun, sebatan serta denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Asmah Zamri mencadangkan jaminan sebanyak RM50,000 bersama syarat tambahan.

Beliau turut memaklumkan mahkamah bahawa tertuduh akan berdepan pertuduhan sama di Melaka dan Ipoh pada minggu ini.

Bagaimanapun, peguam Azizul Shahriman yang mewakili tertuduh memohon jaminan RM10,000 dengan alasan ‘jumlah yang lebih tinggi boleh dilihat sebagai menghukum tertuduh’.

Katanya, anak guamnya telah memberikan kerjasama kepada SPRM sepanjang siasatan dan tidak berisiko melarikan diri.

Hakim Azrul Darus membenarkan jaminan RM10,000 dan mengarahkan tertuduh melapor diri ke cawangan SPRM di Melaka sebulan sekali.

Mahkamah menetapkan 11 Mac untuk sebutan semula.

Kelmarin, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata sekurang-kurangnya tiga NGO ‘popular’ dijangka berdepan tindakan undang-undang kerana disyaki menyalahgunakan jutaan ringgit dana sumbangan.

Author: admin