
PETALING JAYA: Di tengah-tengah kemelut dalaman Bersatu, dua pemimpin parti itu tampil dengan nada berbeza dalam mendepani kritikan terhadap kepimpinan Presiden Muhyiddin Yassin.
Di satu pihak, Timbalan Ketua Bersatu Selangor Rafiq Abdullah mempertahankan rekod Muhyiddin daripada kenyataan ‘tin kosong’ Saifuddin Abdullah yang dipecat Bersatu, manakala ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Dr Yadzil Yaakub pula menekankan keperluan Perikatan Nasional (PN) untuk beralih kepada visi baharu di bawah kepimpinan Hamzah Zainudin.
Rafiq berkata, kenyataan Saifuddin dibuat tanpa sebarang fakta, contoh mahupun bukti untuk menyokong dakwaannya.
“Itu sebabnya Saifuddin dipecat. Parti tidak mahu orang yang bertindak di luar norma parti seperti pihak lawan,” katanya kepada FMT.
“Jika ada pendapat, boleh kemukakan menerusi saluran yang betul, bukannya di luar. Saifuddin pun seorang ahli MPT (sebelum dipecat), bincanglah dalam majlis tertinggi.”
Sehubungan itu, Rafiq menasihatkan Saifuddin supaya berhenti mencampuri urusan Bersatu memandangkan beliau kini bukan lagi sebahagian daripada saf kepimpinan gabungan itu.
“Jangan jadi orang gila talak. Parti telah buat keputusan untuk pecatnya maka Saifuddin telah hilang semua hak untuk beri komen tentang parti kami.
“Kalau rasa masih sayang parti ni, buat rayuan, bukan berterusan mengkritik presiden,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan Saifuddin yang mendakwa Muhyiddin bukan sahaja tidak serius memimpin dasar besar PN malah terus bernostalgia ketika memimpin negara era Covid-19.
Katanya, bekas pengerusi PN itu hilang faktor memimpin parti tersebut susulan masalah yang timbul pada Perhimpunan Agung Tahunan tahun lepas.
Tidak menyangkal dakwaan Saifuddin, Yadzil berpandangan PN tidak boleh terus berpaut pada pencapaian masa lalu jika mahu kekal relevan.
“Pengalaman hanya akan terbentuk apabila peluang dibuka. Biarpun Muhyiddin mempunyai banyak pengalaman, itu hanya rekod kejayaan lampau yang boleh dibanggakan, tetapi tidak ada jaminan ia boleh diulang.
“Kita tidak boleh taksub atau meletakkan keterbergantungan sepenuhnya kepada seorang pemimpin. Pemimpin silih berganti dan sejarah membuktikan perubahan sering membawa kepada kejayaan yang lebih besar,” kata Adun Bemban itu.
Mengulas lanjut, Yadzil berkata, fokus utama PN ketika ini adalah memastikan pengerusi baharu yang dipilih mampu menggariskan dasar yang realistik demi kepentingan rakyat dan negara, bukannya sekadar mengangkat individu.
“Hamzah calon yang paling sesuai dan memenuhi ciri-ciri tersebut,” katanya.
