47 sekolah di Sabah, Sarawak tak dapat operasi hari pertama persekolahan

Pengarah Pendidikan Sarawak Omar Mahli (berkaca mata) meninjau sebuah sekolah yang dijadikan pusat pemindahan sementara. (Gambar Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak)

PETALING JAYA: Sebanyak 42 sekolah di Sarawak dan lima di Sabah dijangka tidak dapat beroperasi pada hari pertama sesi persekolahan 2026 esok akibat banjir.

Ia sama ada terputus hubungan, kawasan sekolah dinaiki air atau dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS).

Pengarah Pendidikan Sarawak, Omar Mahli, berkata antara sekolah terjejas ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Endap di Samarahan kerana semua bangunannya dijadikan PPS.

Katanya, lapan sekolah di Daro tidak dapat beroperasi kerana kelas dimasuki air dan kawasan sekolah dianggap berbahaya kepada keselamatan murid serta guru.

Menurutnya, keadaan sama turut berlaku di enam sekolah di Selangau dan empat sekolah di Bintulu.

Justeru, beliau berkata, sekolah terjejas itu diarah melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) serta mengedarkan modul bercetak kepada murid.

Jelasnya, beberapa sekolah turut dicadangkan beroperasi sementara di balai raya atau sekolah berhampiran, jika keadaan banjir berterusan.

Sementara itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan 2,802 mangsa daripada 864 keluarga masih berlindung di 29 PPS setakat 4 petang tadi, manakala 11 PPS di Samarahan, Gedong, Siburan dan Balai Ringin ditutup kerana keadaan banjir semakin terkawal.

Tetapi, JPBN dilaporkan berkata, jumlah mangsa di beberapa lokasi mencatatkan peningkatan membabitkan PPS Sekolah Kebangsaan Krusen di Serian, Dewan Suarah dan Sekolah Menengah Kebangsaan Sebauh di Bintulu.

Di Sabah, Sekolah Kebangsaan (SK) Bangkalalak, SK Garama, SK Jabang, SK Kebulu, SK Lago dan SK Suasa di daerah Beaufort tidak dapat memulakan sesi persekolahan 2026 esok kerana masih terjejas banjir sejak 2 Jan lalu.

“Bagi daerah lain, sesi persekolahan berjalan seperti biasa,” kata Pengarah Pendidikan Sabah, Raisin Saidin menurut Sinar Harian.

Beliau berkata, seramai 276,144 murid sekolah rendah dan 214,170 pelajar sekolah menengah akan memulakan sesi persekolahan esok, termasuk 43,385 murid Tahun Satu dan 44,851 pelajar Tingkatan Satu.

Author: admin