
PETALING JAYA: Peperiksaan UPSR dan PT3 perlu diwujudkan kembali, kata timbalan menteri Sarawak berdasarkan perubahan positif menyusuli pelaksanaan Ujian Penilaian Program Dwibahasa (UP-DLP), menurutnya.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dr Annuar Rapaee, berkata pihaknya nampak perubahan pada guru, ibu bapa, dan pelajar selepas setahun pelaksanaan UP-DLP di Sarawak.
“Cikgu bertambah serius untuk memastikan pelajar dapat keputusan baik. Ibu bapa semakin serius untuk memastikan anak-anak mesti belajar bersungguh dari sekolah rendah lagi. Pelajar mulai serius sebab takut tak dapat masuk Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak.
“Guru besar makin serius sebab takut sekolah mereka tercorot,” katanya di Facebook.
Justeru, Annuar berkata kerajaan tidak perlu buat kajian berhubung keperluan mengembalikan UPSR dan PT3.
“Keperluan untuk wujud kembali UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah) dan PT3 (Pentaksiran Tingkatan 3) adalah penting dan mendesak,” katanya.
Pandangan ini menyusuli pengumuman Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, hari ini, bahawa kementerian akan segera mengkaji semula keperluan mengembalikan UPSR dan PT3.
Beliau berkata UPSR dan PT3 masih menjadi polemik dalam kalangan masyarakat, dan Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) telah diarahkan untuk mengkaji keperluan untuk mengembalikan peperiksaan tersebut.
Sebelum ini, terdapat desakan beberapa pihak supaya KPM mengembalikan UPSR serta PT3 kerana mendakwa ketiadaan peperiksaan itu menyumbang kepada keciciran pelajar dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Bagaimanapun, Timbalan Menteri Wong Kah Woh pada Okt tahun lalu berkata prestasi SPM kekal stabil walaupun UPSR dan PT3 dimansuhkan.
UPSR dimansuhkan pada 2021, manakala PT3 dibatalkan tahun sama, sebelum dimansuh pada 2022, dan digantikan dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).
Sarawak memperkenalkan UP-DLP untuk pelajar Tahun 6 bermula pada 2025, bagi mengukur tahap penguasaan Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sekolah rendah.
Kerajaan negeri mengumumkan program DLP akan diperluaskan ke sekolah menengah bermula tahun ini.
