Kebenaran terbukti, kata Zahid selepas NFA

Zahid Hamidi
AGC hari ini mengumumkan penamatan muktamad kes berkaitan dana Yayasan Akalbudi, yang melibatkan Presiden Umno, Zahid Hamidi. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Presiden Umno Zahid Hamidi menzahirkan kesyukuran selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) mengumumkan tiada tindakan lanjut akan diambil berhubung kes berkaitan dana Yayasan Akalbudi.

Zahid menulis di Facebook: “Masa akhirnya menjawab segalanya, kebenaran terbukti jua.”

AGC mengumumkan penamatan muktamad kes berkenaan, kerana keterangan yang ada tidak mencukupi untuk meneruskan pendakwaan bagi semua pertuduhan melibatkan kesalahan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram.

Ia memutuskan demikian berdasarkan penilaian dan pertimbangan pendakwaan, setelah meneliti keseluruhan bahan dan keterangan baharu yang diperolehi hasil siasatan lanjut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia selepas mahkamah melepaskan tanpa membebaskan Zahid daripada 47 pertuduhan, pada 4 sept 2023.

Mahkamah melepaskan tanpa membebaskan Zahid selepas membenarkan permohonan timbalan pendakwa raya yang memaklumkan AGC ingin memberhentikan semua prosiding terhadap beliau, pada peringkat itu.

Zahid didakwa dengan 47 pertuduhan iaitu lapan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram.

Pasukan peguam Zahid hari ini mengumumkan permohonan akan difailkan di Mahkamah Rayuan bagi menukar perintah lepas tanpa dibebaskan sebelum ini kepada kepada lepas dan bebas.

Author: admin