
KUALA LUMPUR: Pempengaruh Aliff Syukri Kamarzaman memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini beliau hanya memuat naik hantaran media sosial mengenai pertikaiannya dengan bekas menteri kebudayaan, kesenian dan pelancongan Abdul Kadir Sheikh Fadzir selepas berbulan-bulan gagal menghubunginya.
Memberi keterangan membela diri terhadap saman fitnah Kadir, usahawan berusia 38 tahun itu berkata, beliau telah berulang kali cuba menghubungi bekas pemimpin Umno berusia 86 tahun itu melalui telefon namun tidak berjaya.
Ketika disoal balas oleh peguam Kadir, S Ravichandaran, Aliff mengakui bahawa mesej WhatsApp yang dikemukakan sebagai keterangan hanya menunjukkan beliau cuba menghubungi Kadir pada satu hari tertentu sahaja.
“Ya, benar, … tetapi saya telah cuba hubunginya berbulan-bulan, dan tiada satupun panggilan berjaya disambungkan,” katanya.
Aliff turut menafikan bahawa hantaran terbuka di Instagram yang mengandungi tangkap layar mesej WhatsApp tersebut bertujuan memberi gambaran kepada orang ramai bahawa Kadir sengaja mengelakkan diri daripadanya.
‘Saya tak mahu ke mahkamah’
Apabila ditanya mengapa beliau tidak mengeluarkan surat tuntutan (LOD) kepada syarikat Kadir, Aliff berkata, beliau memilih untuk tidak mengambil tindakan undang-undang rasmi atas dasar hormat dan untuk mengelak litigasi.
“Saya tak mahu ke mahkamah. Saya hormati beliau sebagai warga emas dan tidak mahu memanjangkan (perkara ini),” katanya.
Aliff memberitahu mahkamah, sebelum hantaran itu dibuat, terdapat beberapa cubaan untuk menyelesaikan pertikaian mereka, termasuk melalui pertemuan yang dimulakan oleh Kadir.
Bagaimanapun, beliau berkata, komunikasi mereka terputus sejurus selepas itu.
“Selepas perbincangan tersebut, beliau sekat saya di WhatsApp. Hanya selepas itulah saya muat naik hantaran tersebut,” jelasnya.
Aliff turut menolak saranan Ravichandran bahawa Kadir tidak pernah mengelak daripada panggilannya mahupun melarikan diri, sebaliknya beliau bertegas dengan pendiriannya.
“Ia bukan perkara berlaku sehari. Bukan kamu yang keluarkan RM30 juta, (tetapi) saya. Jika beliau tak lari, saya tak berada di mahkamah hari ini,” katanya lagi.
Kadir menyaman Aliff atas dakwaan fitnah berhubung beberapa hantaran Instagram pada Julai 2023, di mana Aliff mendakwa bekas menteri itu berhutang ‘puluhan juta ringgit’ kepadanya.
Beliau menegaskan Aliff merupakan pelabur dalam projek usaha sama ‘Buckingham by the Sea’ di Desaru, Johor, bukan pemberi pinjaman peribadi.
Kadir turut menafikan mempunyai sebarang hutang peribadi dengan Aliff sambil menekankan bahawa tuduhan tersebut telah menjejaskan reputasinya dengan serius.
Dalam pada itu, Aliff bersandarkan kepada pembelaan justifikasi dengan mendakwa beliau telah melabur sebanyak RM30 juta dalam usaha sama berkenaan.
Beliau mendakwa Kadir telah memberikan jaminan peribadi untuk memulangkan modal pelaburan tersebut, beserta keuntungan dan faedah.
Aliff diwakili oleh peguam Zulfahmi Abu Bakar. Perbicaraan di hadapan Hakim Roslan Mat Nor akan diteruskan.
