Bekas panglima tentera darat direman 7 hari berkait kes rasuah tender

Bekas panglima tentera darat direman tujuh hari bermula hari ini manakala dua isterinya masing-masing direman enam dan tiga hari bagi membantu siasatan kes rasuah berkait projek perolehan tender Tentera Darat. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Bekas panglima tentera darat direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah berkait projek perolehan tender pasukan keselamatan itu.

Seorang daripada isterinya pula direman enam hari manakala seorang lagi direman tiga hari selepas kedua-duanya turut ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam, menurut Berita Harian.

Tiga individu terbabit dibawa ke Mahkamah Putrajaya pagi tadi untuk proses permohonan reman bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Mereka sebelum itu tiba di Kompleks Mahkamah Putrajaya pada 10.02 pagi dengan menaiki dua kenderaan SPRM.

Semua mereka memakai baju tahanan jingga serta bergari, sebelum dibawa masuk ke pekarangan mahkamah.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan penahanan tiga individu berkenaan berkait projek perolehan tender Tentera Darat.

Author: admin