
PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dijangka menerima taklimat khas daripada cawangan khas polis berhubung gerakan kultus dari Korea Selatan yang didakwa bergerak aktif.
Beliau berkata taklimat itu akan disampaikan minggu ini oleh unit E2, iaitu unit perisikan sosial polis yang bertanggungjawab mengesan ajaran sesat.
“Saya lebih cermat dan berhati-hati dalam perkara ini. Saya tak mahu memetik sumber pelbagai. Pihak paling berwibawa untuk menyiasat dakwaan ini ialah unit E2.
“Kerja hakiki mereka adalah mengesan sebarang bentuk ajaran salah termasuk ajaran sesat,” katanya pada sidang medianya selepas menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2026 Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Mengulas dakwaan wujudnya pembabitan tokoh tempatan termasuk ahli Parlimen dalam kultus berkenaan, Saifuddin memilih untuk tidak mengulas lanjut.
Pada 13 Dis lalu, Saifuddin berkata terdapat beberapa tokoh politik terbabit gerakan kultus menyimpang dari Korea Selatan yang dikatakan aktif di Malaysia.
Beliau berkata, kegiatan itu, walaupun tidak sampai ke tahap yang disifatkan boleh mengancam keselamatan negara, tetap dipantau rapi oleh polis.
Sebelum ini, Mufti Perlis Asri Zainul Abidin mendakwa wujud satu gerakan kultus dari Korea Selatan yang menyimpang dan dikatakan aktif di negara ini.
