
PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan bekas panglima tentera darat Muhammad Hafizuddeain Jantan dan dua isterinya berkait projek perolehan tender pasukan keselamatan itu.
Turut ditahan pasangan suami isteri yang disyaki bersubahat melarikan RM2.4 juta.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, mengesahkan penahanan itu, lapor Buletin TV3.
“Sehingga jam 7 malam kita menahan bekas panglima tentera darat dan kedua-dua isterinya.” katanya.
Terdahulu, kenderaan membawa Hafizuddeain dan isterinya memasuki perkarangan ibu pejabat SPRM di Putrajaya, 3 petang tadi.
Difahamkan, SPRM akan memohon reman ke atas Hafizuddeain dan dua isterinya esok.
Hafizuddeain dikehendaki memberi keterangan pada 28 Dis lalu namun tidak dapat berbuat demikian kerana dimasukkan ke hospital.
Sebelum ini, Menteri Pertahanan Khaled Nordin mengesahkan Hafizuddeain diarahkan bercuti berkuat kuasa serta-merta sehingga siasatan kes dikaitkan dengannya selesai.
Semalam, SPRM menahan reman 17 pengarah syarikat kerana disyaki terlibat dalam rangkaian kartel tender perolehan tentera darat.
