
PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) akan mewujudkan Mahkamah Buruh Bergerak dengan tiga kenderaan mula beroperasi di Semenanjung selewat-lewatnya Ogos ini.
Menterinya, R Ramanan, berkata langkah progresif itu bagi memudahkan akses pekerja dan majikan di kawasan luar bandar dan pedalaman hadir ke Mahkamah Buruh.
“Ini satu inisiatif yang akan menyenangkan proses bagi semua orang, jadi dia (pekerja) tak perlu pergi ke mahkamah, mahkamah akan datang kepada mereka.
“Peruntukan RM5 juta telah disediakan sebagai permulaan,” katanya selepas lawatan kerja ke Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) di Kesuma.
Ramanan berkata, pelaksanaan awal inisiatif itu akan memfokuskan kawasan pedalaman mempunyai akses terhad kepada institusi perundangan, sebelum diperluaskan ke Sabah dan Sarawak.
Selaras agenda pendigitalan negara, katanya, Kesuma akan memasang Sistem Perekodan Digital di Pejabat Tenaga Kerja Ipoh, Alor Setar, Muar, Rawang, Kuantan dan Kuala Terengganu membabitkan peruntukan RM1.8 juta.
“Ini untuk mempercepatkan prosiding perbicaraan, meningkatkan ketelusan serta memastikan pengurusan rekod kes buruh lebih sistematik dan efisien.”
