Telah usaha sehabis baik, Akmal bayang mahu berundur

AKMAL SALEH
Dr Akmal Saleh dikritik susulan penganjuran konvensyen khas Pemuda Umno yang membuat resolusi supaya parti itu keluar kerajaan perpaduan.

PETALING JAYA: Dr Akmal Saleh yang dikritik susulan penganjuran konvensyen khas Pemuda Umno, minggu lalu menyatakan kesediaan berundur, namun tidak menyatakan sama ada membabitkan jawatan ketua sayap itu atau pentadbiran kerajaan negeri.

Selain ketua Pemuda Umno, Adun Merlimau itu turut dilantik Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka.

Pada konvensyen itu, Akmal membuat gesaan supaya Umno keluar kerajaan perpaduan dan bekerjasama dengan PAS di blok pembangkang, dengan mendakwa berlaku pelanggaran berulang ‘garis merah’ melibatkan isu 3R — kaum, agama dan raja.

Bagaimanapun, Presiden Umno Zahid Hamidi semalam berkata parti itu kekal bersama kerajaan perpaduan sehingga tamat penggal pentadbiran

Dalam hantaran di Facebook yang turut menyertakan gambar ketika konvensyen, Sabtu lalu, Akmal berkata beliau telah berusaha sehabis baik.

“Mungkin kelemahan datang dari diri saya sendiri. Mungkin sudah tiba masanya untuk mengundur diri

“Terima kasih atas suara-suara anda semua yang sayangkan perjuangan ini.

“Saya percaya jika niat kita baik demi agama,bangsa dan tanah air. Insya-Allah waktunya akan sampai jua” katanya.

Author: admin